Friday, March 7, 2014

11,000 askar pro-Rusia kawal laluan ke Crimea


SIMFEROPOL, Ukraine 6 Mac - Pasukan bersenjata pro-Rusia yang mempunyai kekuatan lebih 11,000 askar kini mengawal semua laluan ke Semenanjung Crimea, Ukraine dan mengepung semua pangkalan tentera yang masih belum menyerah diri.
Pemimpin baharu Crimea, Sergei Aksyonov berkata, wilayah tersebut kini berada di bawah kawalan polis antirusuhan dan pasukan keselamatan selain disertai 11,000 askar. Beliau berkata, kerajaan pimpinannya kini sentiasa berhubungan dengan pegawai Rusia termasuk satu delegasi dari negara itu yang kini berada di wilayah autonomi tersebut.
Dalam pada itu, seorang utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar ke Crimea terpaksa meninggalkan wilayah tersebut selepas diancam lelaki bersenjata.
Kebimbangan terhadap keadaan di timur Ukraine itu meningkat selepas beratus-ratus penunjuk perasaan yang kebanyakannya melaungkan `Rusia, Rusia’’ menyerbu bangunan kerajaan di Donetsk, berdekatan sempadan Rusia, semalam.
Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis turut berlaku awal hari ini di Donetsk ketika pasukan keselamatan itu cuba menyuraikan mereka yang berkumpul di bangunan berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri baharu Ukraine, Arseniy Yatsenyuk mempertahankan kesahihan kerajaannya yang Rusia dakwa pelantikannya sebagai tidak sah.
Yatsenyuk juga menyatakan bahawa Crimea akan kekal sebagai sebahagian daripada Ukraine dan bersedia menimbangkan untuk memberi wilayah itu lebih kuasa autonomi.
Beliau dalam temu bual pertamanya sejak memegang tampuk pentadbiran negara ini menyalahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai pencetus krisis antarabangsa paling buruk di Eropah selepas Perang Dingin.
Perdana Menteri Ukraine itu turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pencerobohan Rusia di Crimea.
Yatsenyuk bagaimanapun menafikan dakwaan beliau meminta bantuan ketenteraan dari Ameriak Syarikat (AS). - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140307/lu_03/11000-askar-pro-Rusia-kawal-laluan-ke-Crimea#ixzz2vJk9jub4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment