Saturday, March 1, 2014

Cadangan Suthep berdebat dengan Yingluck ditolak


Ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berucap di hadapan penyokongnya dalam perhimpunan di luar ibu pejabat polis di Bangkok. Thailand, kelmarin. - AFP
BANGKOK 28 Feb. - Timbalan Perdana Menteri sementara Thailand, Chalerm Yoobamrung hari ini, menolak usul ketua penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban untuk mengadakan debat siaran langsung dengan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Beliau berkata, ini berikutan Yingluck merupakan Perdana Menteri yang sah, manakala Suthep merupakan ketua antikerajaan dalam perhimpunan haram.
"Suthep cuba mengusulkan rundingan kerana perhimpunan antikerajaan semakin hilang momentum, walhal dia juga pernah menolak dialog sebelum ini. Jadi Yingluck tidak patut menerima cadangan itu, " katanya.
Suthep mengemukakan usul debat itu semalam selepas dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sejak beberapa minggu lalu.
Namun begitu, dalam ucapannya baru-baru ini, dia menyalahkan Yingluck berhubung serangan terhadap penunjuk perasaan minggu lalu yang menyebabkan lima orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak.
"Yingluck telah membunuh empat orang kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya yang turut mencabar penyokong Perdana Menteri itu untuk turun padang ke Bangkok dan melancarkan perang saudara.
Yingluck yang kini berada di bandar Chiang Mai mengulas berkenaan cadangan debat itu dan berkata, perbincangan berkenaan memerlukan kajian mendalam.
Keganasan yang berlaku sejak tunjuk perasaan di ibu negara ini bermula November lalu bagi menyingkirkan Yingluck daripada jawatannya itu, menyebabkan sejumlah 23 orang terbunuh. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140301/lu_04/Cadangan-Suthep-berdebat-dengan-Yingluck-ditolak#ixzz2uegvjr7L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment