KUALA LUMPUR 28 Feb. - "Muka macam saya. Tapi bukan saya."
Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd., Wan Muhammad Azri Wan Deris selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000.
Wan Muhammad Azri berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop membuat keputusan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.
Anwar memfailkan saman itu pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa Wan Muhammad Azri, 31, adalah pemilik blog, www.papagomo.com yang menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac tahun lalu.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa Wan Muhammad Azri, secara nyata atau tersirat menyatakan individu di dalam imej-imej dalam artikel yang disiarkan itu adalah beliau.
Sambil mempersoalkan mengapa Anwar, 67, sehingga hari ini tidak menyaman ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Wan Muhammad Azri menegaskan, persoalan tersebut seharusnya ditanya oleh masyarakat kepada Anwar.
Shazryl Eskay adalah bekas Konsul Kehormat Diraja Thailand di Langkawi merupakan salah seorang daripada 'Trio Datuk T' yang mendedahkan rakaman video seks dikatakan mirip pemimpin pembangkang dengan seorang wanita.
Dengan menyifatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai pembohong bersiri, Wan Muhammad Azri meminta agar Anwar bertaubat.
Katanya, beliau yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut akan mengemukakan rayuan.
Sementara itu peguam, Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata, pihaknya akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, Isnin ini dan akan memohon supaya pelaksanaan penghakiman itu ditangguhkan.
Anwar selaku pihak plaintif, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Wan Muhammad Azri, yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memfitnah beliau dengan mengeluarkan perkataan yang membawa maksud beliau, seorang tidak bermoral dan tidak layak menjadi pemimpin politik.
Dalam alasan penghakiman setebal 35 muka surat, Rosilah berkata, pernyataan fitnah tersebut merujuk secara peribadi kepada Anwar dan umum mengetahui siapakah plaintif, isteri dan anak perempuannya.
Pernyataan fitnah yang merujuk kepada plaintif itu, bagi Rosilah adalah melampau, terlalu menjijikkan, lucah dan mahkamah berpendapat, laman web atau blog tersebut dibuat khusus untuk memfitnah plaintif.
Mengenai gambar lelaki yang dirakam oleh penulis blog Perisik Rakyat, Mohd. Fauzi Mohd. Azmi yang memberi keterangan sebagai saksi plaintif, Rosilah mendapati gambar tersebut kelihatan sama seperti pihak defendan.
Setelah meneliti keterangan pihak defendan secara menyeluruh Rosilah berkata, kenyataan fitnah yang disiarkan di dalam internet telah tersebar luas dan boleh diakses hingga ke seluruh dunia dan akan mencemarkan reputasi Anwar.
Plaintif yang kini berada di Jepun diwakili peguam, N. Surendran dan Latheefa Koya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140301/ma_01/Muka-macam-saya-tapi-bukan-saya#ixzz2ueotcznj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment