Sunday, March 30, 2014

Empat beradik tabah ibu bapa dipenjara



ANAK-ANAK Azizul Raheem dan Shalwati. Dari kiri, Ammar, Adam, Arif dan Aisyah.


KOTA BAHARU - Keempat-empat anak pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh mahkamah di Sweden kelmarin menerima keputusan itu dengan tabah walaupun sedih.
Ibu saudara empat beradik itu, Shaleena Norshal, 43, berkata, ketika beliau memberitahu keputusan mahkamah itu, mereka dapat menerimanya dengan tenang.
"Saya maklumkan perkara tersebut selepas solat Maghrib semalam dan memang mereka sedih tetapi saya dapat lihat ketabahan mereka.
"Jadi mereka memahami dan bersyukur yang ibu bapa mereka hanya dikenakan hukuman penjara minimum," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini semalam.
Shaleena berkata, dia dan anggota keluarga yang lain sering memberitahu empat beradik itu bahawa perkara itu terjadi bukan kerana salah mereka.
"Mereka akan terus tinggal bersama-sama kami dan mereka juga dah semakin selesa tinggal di sini, Aishah pun dah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik sekarang.
"Saya juga nak berterima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Stockholm yang banyak membantu dari awal hingga akhir," katanya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pelajaran masih meneliti status jawatan Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji mengikut suaminya bertugas di Sweden sebelum dikenakan hukuman penjara di negara berkenaan kerana mendera anak mereka.
Menurutnya, kementerian memahami bebanan yang dihadapi Shalwati selaku penjawat awam dan kerajaan akan membantu sedaya upaya kerana kes ini melibatkan perundangan berkaitan perkhidmatan awam.
"Saya perlu lihat (bentuk) perundangan dan pandangan daripada pakar undang-undang terlebih dulu. Kita akan cuba untuk mengurangkan beban mereka itu sebagai rakyat negara kita yang dihukum di luar negara.
"Ini merupakan perkara baharu yang perlu kita selesaikan kerana dia dihukum di luar negara dan kita lihat apakah pertimbangan-pertimbangan yang mustahak agar tidak membebankannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) 'Jom Masuk U' kali ke-10 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.
Kelmarin, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Azizul yang merupakan Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden dan Shalwati bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan memukul empat anak mereka.
Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK67,200 (RM33,909) manakala Azizul dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK36,400 (RM18,367) kepada anak mereka.
Pasangan itu dituduh memukul anak mereka, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, tujuh tahun. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2xOcpKOUV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment