Sunday, March 30, 2014

Pesawat China temui tiga objek


BEBERAPA orang menyaksikan kapal frigat HMAS Toowoomba milik Tentera Laut Diraja Australia yang turut menyertai misi mencari pesawat MH370 di Pangkalan Tentera Laut Armada Barat, Pulau Garden, Perth semalam.


PERTH - Sebuah pesawat China yang terbang di kawasan pencarian baharu di selatan Lautan Hindi yang terletak 1,800 kilometer (km) dari barat Perth, Australia mengesan tiga objek yang berwarna putih, merah dan oren.
Menurut agensi berita Xinhua, objek tersebut ditemui di dalam kawasan pencarian baharu untuk mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Kru pesawat Ilyushin IL-76 itu melihat objek tersebut pada jarak ketinggian 300 meter dari Lautan Hindi.
Agensi berita itu melaporkan, sebuah kapal milik China, Haixun 01 itu akan cuba untuk menjejaki objek tersebut dan mengambilnya selepas ia dilihat kru pesawat berkenaan.
Kelmarin, beberapa pesawat turut mengesan 11 objek termasuk dua objek yang berbentuk segi empat tepat yang berwarna kelabu dan biru.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, kapal-kapal akan cuba untuk mengambil objek tersebut.

TEMBAKAN suar dilepaskan daripada sebuah pesawat tentera Udara Diraja New Zealand di lokasi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi kelmarin.


"Objek-objek itu tidak boleh disahkan atau dipercayai sebagai serpihan dari pesawat MH370 itu sehingga ia ditemui semula dan diambil kru kapal-kapal tersebut," kata AMSA dalam satu kenyataan.
"Setakat ini, masih tidak diketahui berapa banyak bahan terbuang seperti yang digunakan untuk aktiviti perikanan berada di lautan itu.
"Sekurang-kurangnya, satu objek perikanan telah dikenal pasti," menurut kenyataan itu.
Lokasi pencarian baharu itu beralih ke kawasan 1,100 kilometer ke timur laut dari kawasan pencarian sedia ada sejak kelmarin.
Perpindahan lokasi itu adalah disebabkan satu analisis terbaharu mengenai data radar yang mendapati pesawat berkenaan terbang lebih laju daripada yang dianggarkan sebelum ini menyebabkan minyak pesawat MH370 itu habis dengan cepat.
Kerja-kerja pencarian sebelum ini ditumpukan di kawasan sejauh 2,500 kilometer (km) dari barat laut Perth.
Namun, kawasan pencarian itu kini ditumpukan di kawasan yang terletak sejauh 1,850km dari barat Perth.
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika ia sepatutnya menghubungi menara kawalan di Vietnam.
Ketika hilang, pesawat Boeing 777-200ER itu dalam penerbangan ke Beijing, China.
Seramai 153 warga China menaiki pesawat itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2xOanhS9P 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment