Saturday, March 29, 2014

Obama diminta 'selamatkan' puteri Arab Saudi


Bekas isteri Raja Abdullah, Alanoud Al Fayez (tengah) bergambar bersama empat anak perempuannya yang dikini didakwa ‘dikurung’ di istana diraja di Arab Saudi. - AGENSI
LONDON 28 Mac - Bekas isteri Raja Arab Saudi, Raja Abdullah meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama untuk membantunya dalam kes membabitkan empat anak perempuannya yang didakwa ‘dikurung’ di istana diraja.
Alanoud AlFayez, 57, seorang rakyat Jordan yang tinggal di London sejak bercerai dengan Raja Abdullah pada 2003, mendakwa semua anaknya itu perlu `diselamatkan'.
Beliau menyuarakan permintaannya tersebut menjelang lawatan Obama ke Arab Saudi hari ini, ketika ahli Kongres AS meminta Obama menangani isu pelanggaran hak asasi di Arab Saudi.
"Sejak 13 tahun lalu, anak perempuan saya iaitu Sahar, Maha, Hala dan Jawaher dikurung di istana dan mereka perlu dibebaskan dengan segera.
"Obama perlu mengambil peluang sempena lawatan ke Arab Saudi bagi menangani isu pelanggaran hak asasi yang berlaku ke atas anak saya," katanya kepada AFP, semalam.
Alanoud yang berkahwin dengan Raja Abdullah pada usia 15 tahun, berkata. anak-anaknya sebelum ini hanya dibenarkan keluar dari istana sebanyak dua kali sebulan untuk membeli makanan, air dan ubat-ubatan untuk diri sendiri dan haiwan peliharaan.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak lagi dibenarkan berbuat demikian dan anak sulungnya, Sahar, 42, mengadu situasi itu dalam laman sosial Twitter.
"Sahar menyatakan mereka tidak mempunyai pasport atau kad pengenalan dan dikenakan tahanan di rumah dengan berbekalkan sedikit makanan. Mereka kini makan hanya sehari sekali.
"Keluarga diraja dan pihak yang terlibat di istana menahan anak saya secara tidak sah dan menyebabkan gangguan emosi dan fizikal sejak bertahun-tahun," katanya,
Obama dijadual bertemu dengan Raja Abdullah dalam lawatan kedua ke Arab Saudi sejak beliau menjadi Presiden AS pada 2009.
Berpuluh-puluh ahli Kongres menggesa Obama mengetengahkan isu hak asasi manusia di negara tersebut termasuk larangan wanita memandu yang diperjuangkan kumpulan aktivis Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140329/lu_03/Obama-diminta-selamatkan-puteri-Arab-Saudi#ixzz2xLZ3VwT8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment