Saturday, March 22, 2014

Misteri MH370 sukar dirungkai


PARIS – Seorang pakar penerbangan di Perancis menjangkakan misteri kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sangat sukar dirungkai atau kekal misteri sekiranya benar kapal terbang berkenaan terhempas di Lautan Hindi, lapor akhbar
Financial Times.
Pengarah Biro Siasatan Kemalangan Udara Perancis, Rémi Jouty berkata, sekiranya dua objek yang dikesan oleh sebuah satelit di Lautan Hindi adalah serpihan pesawat MH370, ini bermakna satu siasatan paling sukar akan bermula.
Katanya, untuk merungkai misteri kehilangan pesawat itu, pasukan penyiasat perlu mencari kotak hitam kerana alat itu adalah kunci untuk membuka misteri tersebut.
"Bagaimanapun, di lautan ini pasukan mencari mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk mencari kotak hitam pesawat ini itupun jika ia boleh ditemui.
"Apa yang boleh saya beritahu, ini adalah usaha mencari yang paling sukar dan saya tidak memberi jaminan kotak hitam ini mampu ditemui," katanya.
Menurutnya, kotak hitam penting bagi mengetahui punca sesuatu nahas udara kerana ia menyimpan rakaman suara di kokpit dan juga data-data penerbangan.
Kotak hitam yang direka untuk terselamat walaupun sesebuah pesawat terhempas atau terbakar sebenarnya berwarna merah atau oren terang bergantung kepada pengeluar.
Biro itu sebelum ini menghantar tiga penyiasat berpengalaman untuk membantu pihak berkuasa Malaysia mencari pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Ketiga-tiga pegawai penyiasat itu terlibat dalam siasatan sebuah pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.
Dalam kemalangan tersebut seramai 228 penumpang dan anak kapal terbunuh manakala kotak hitam pesawat itu ditemui selepas dua tahun tragedi berlaku.
Ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas.
Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut.
Kotak hitam pesawat Air France ditemui pada kedalaman 4,000 meter iaitu hampir sama dengan kedalaman di satu kawasan di Lautan Hindi di mana dua objek dipercayai serpihan pesawat MH370 dikesan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2wdW1HnFs 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment