Saturday, March 22, 2014

Sekolah Harapan: Sebuah harapan perubahan

Dalam sedar ataupun tidak, menyusuri tahun 2014, sudah hampir empat tahun Sekolah Harapan yang beroperasi di Jasin, Melaka bertahan dengan tajaan penuh Jabatan Agama Islam Melaka.

Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) melihat usaha Jabatan Agama Islam Melaka itu adalah satu usaha yang baik untuk membimbing semula remaja-remaja ini disamping menyelaraskan keperluan ilmu rohani dan kurikulum persekolahan mereka.
Usaha ini dilihat bukan sahaja memberi harapan atau peluang kedua kepada mereka untuk berubah kearah yang lebih baik, tetapi juga membuka ruang pembelajaran agar mereka berpeluang menjadi masyarakat yang terdidik dan berpengetahuan disamping mampu mengurangkan kadar buang bayi yang kebiasaanya berlaku akibat hancurnya harapan untuk berubah.

Pembinaan modal insan adalah sangat penting bagi mempersiapkan sesebuah negara dengan masyarakat yang terpelajar. Justeru itu, hak untuk mendapatkan ilmu dan pelajaran wajar diukur sama rata dan Sekolah Harapan dilihat membuka ruang yang lebih kondusif dan efektif kepada remaja yang sudah terlanjur. Di sini mereka bebas menadah ilmu tanpa gangguan emosi dan fizikal yang barangkali akan dihadapi mereka jika bersekolah di sekolah harian.

Namun begitu, SIGMA melihat Sekolah Harapan bukan sahaja menjadi pusat perlindungan untuk golongan remaja terbabit, tetapi juga mesti menyediakan alternatif lain untuk mendidik mereka erti kehidupan yang sebenar usai mereka keluar dari sekolah tersebut. Perlunya satu pendidikan kemahiran, selain silibus akademik yang tidak kurang pentingnya untuk bekalan mereka.

Saranan SIGMA supaya:

1) Ilmu Tauhid lebih ditekankan lagi bukan hanya dengan matapelajaran agama Islam tetapi perlu dipraktikkan dan dijiwai oleh setiap penghuni Sekolah Harapan.

2) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan pada tahun 2001 perlu menaiktaraf program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang gender, kependudukan, pembangunan keluarga dan masyarakat selain perlu mengambil langkah awal bagi mencegah masalah ini dari terus menular.

3) Dasar Wanita Negara bukan sekadar mengiktiraf wanita dalam bidang politik, ekonomi dan perkhidmatan semata-mata, tetapi perlu juga memastikan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial yang cekap dan berkesan dengan menggiatkan peranan institusi-institusi pembangunan wanita bagi memastikan hak dan keselamatan wanita terbela seiring dengan pembangunan kemajuan negara.

4) Peranan keluarga sebagai batu asas pembinaan sahsiah seorang remaja perlu dititikberatkan supaya perkara ini dapat dibendung. Pun begitu, jika perkara ini terjadi, keluarga juga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan moral dan mendidik remaja yang terlanjur supaya kembali ke pangkal jalan, bukan dibuang untuk menjaga air muka keluarga.

5) Masyarakat juga perlu memandang positif dan memberi sokongan padu kepada mereka yang ingin berubah dan melupakan sejarah hitam yang tercatat dek kerana kecetekan fikiran mereka. Masyarakat perlu keluar dari dogma-dogma yang boleh menyebabkan golongan tersebut rasa tidak berguna dan menatijahkan perkara yang lebih buruk seperti buang bayi dan bunuh diri.

SIGMA melihat cadangan-cadangan ini sebagai satu usaha yang baik ke arah mengurangkan kadar buang bayi sekaligus memberi cahaya di hujung terowong kepada bayi yang baru melihat dunia. Numun demikian, adalah penting bagi semua lapisan masyarakat untuk sedar bahawa “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”. Punca utama kepada berlakunya anak luar nikah ini harus diteliti dan dicegah oleh semua pihak baik institusi keluarga, pendidikan mahupun kerajaan dan masyarakat sekeliling sebelum ia menjadi suatu barah yang sukar diubati.

Kita tidak mahu satu hari nanti Sekolah Harapan menjadi bak cendawan tumbuh selepas hujan apabila remaja melihat ianya sebagai penyelamat sehingga tidak takut dengan perbuatan maksiat yang dilakukan bila mana ada rumah yang menerima mereka setelah itu.

Sirah nabawiyah telah membuktikan bahawa mengeji seseorang yang telah bertaubat dangan sebenar-benar taubat adalah dilarang bilamana Khalid bin al-Walid telah ditegur oleh baginda nabi ketika hendak melontarkan batu ke kepala wanita dari kaum Al-Ghamidiah yang telah berzina sambil mengejinya. Baginda berkata: Nantilah dulu wahai Khalid! Demi sesungguhnya yang jiwaku di tangan Dia, sesungguhnya dia telah bertaubat dengan sebenar-benarnya, jika bertaubatnya orang yang zalim maka diampunkan dosanya, kemudian perempuan itu pun disembahyangkan dan dikafankan.

Sedangkan Nabi mengiktiraf dan mengangkat darjat wanita, tidak dinafikan lagi wanita memainkan peranan yang cukup penting di dalam dan di luar rumah, terutama dalam pembentukan generasi akan datang. Semoga dengan usaha yang dilakukan semua pihak mampu mengurangkan kadar diskriminasi terhadapa wanita serta wanita sendiri memahalkan diri mereka daripada mudah menyerah kepada mana-mana lelaki yang bukan sepatutnya.

كل بني آدم خطاء، وخير الخطائين التوابون bermaksud: Setiap anak Adam itu boleh melakukan kesilapan, dan sebaik-baik insan-insan yang bersalah ialah yang bertaubat. (hadith riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya,Imam At-Tirmizi,Ibnu Majah,dan Imam Al-Haakim )

Tuntasnya, SIGMA menyokong penuh segala usaha yang dilakukan oleh mana-mana badan kerajaan mahupun Non-Goverment Organization (NGO) dalam memastikan hak dan keselamatan wanita terpelihara. Semoga ada sinar di sebalik sejarah hitam yang terpalit.

Penulis ialah Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)
-harakah

No comments:

Post a Comment