Wednesday, March 5, 2014

Perang jalan terakhir: Putin

Perang jalan terakhir: Putin
Tentera Rusia berkawal di luar pangkalan tentera Ukraine di Perevalnaya di Crimea. 
5 Mac 2014
MOSCOW - 'Ukraine dicemari dengan insiden rampasan kuasa bersenjata yang menentang Perlembagaan'.

Menurut laporan Agensi, kenyataan pertama sejak krisis Crimea bermula itu dikeluarkan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas beliau mengarahkan 150,000 askar yang menjalani latihan ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine sejak 26 Februari lalu supaya kembali semula ke pangkalan masing-masing.

Tindakan tersebut turut mencetuskan persoalan banyak pihak sama ada Moscow mula akur dengan gesaan Barat supaya tidak meningkatkan lagi ketegangan di Ukraine.

Selain itu, Putin turut mengulangi pendirian bahawa Rusia masih mengiktiraf Viktor Yanukovych sebagai Presiden Ukraine yang sah.

Menurutnya, Yanukovcyh telah memenuhi semua syarat yang terkandung di dalam perjanjian bersama pembangkang pada 21 Februari lalu, namun beliau menjadi mangsa permainan politik kotor di Kiev.

"Penduduk Ukraine mahukan perubahan, tetapi mereka tidak seharusnya menyokong tindakan kerajaan pimpinan Presiden sementara Oleksandr Turchynov yang secara terang melanggar undang-undang sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

"Peperangan adalah jalan terakhir kerana kami hanya akan menggunakan tindakan ketenteraan untuk melindungi penduduk. Bagaimanapun, pintu rundingan masih terbuka," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, tentera Rusia yang menawan pangkalan udara Belbek di wilayah Crimea dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan ke udara sebagai tanda amaran kepada kira-kira 300 askar Ukraine.

Tindakan tersebut dibuat selepas ratusan anggota keselamatan tidak bersenjata itu cuba untuk merampas semula pangkalan tentera tersebut.

Media tempatan melaporkan tiada insiden pertempuran tercetus walaupun Moscow memberi kata dua kepada tentera laut di Crimea untuk menyerah kalah atau bakal berhadapan tindakan lebih buruk jika gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Rusia turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Barack Obama mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas mereka.

Pembantu ekonomi Kremlin, Sergei Glazyev berkata, Moscow akan mengurangkan kebergantungan ekonomi dengan Washington jika mereka mengambil tindakan melulu tersebut.

"Sebarang cubaan untuk mengenakan sekatan ke atas kami akan menyebabkan AS hilang kuasa serta-merta dalam sistem kewangan global," tegasnya.

Terdahulu, Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin memaklumkan bahawa Yanukovych ada meminta bantuan tentera Rusia untuk 'menceroboh' Ukraine kerana beliau percaya negara itu kini di ambang perang saudara.

Menurutnya, Yanukovych khuatir dengan keselamatan penduduk di tenggara Crimea yang semakin terancam dan terdedah dengan tindakan keganasan.

Susulan daripada ketegangan semakin memuncak, 28 wakil negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah mengadakan mesyuarat tergempar kedua di Brussels selepas Poland yang terletak di sempadan Rusia dan Ukraine mula berasa terancam dengan konflik tersebut.

No comments:

Post a Comment