Wednesday, March 5, 2014

Yanukovych minta bantuan


Sebuah kapal Tentera Laut Rusia, De-Gaussing, ditempatkan di Pelabuhan Sevastopol, di Laut Hitam, Crimea, kelmarin. - AFP
NEW YORK 4 Mac - Wakil Rusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych meminta bantuan Moscow untuk menghantar tentera ke wilayah autonomi Crimea bagi mengembalikan keamanan, kestabilan dan undang-undang.
Vitaly Churkin mendedahkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, permintaan Yanukovych itu dibuat menerusi sepucuk surat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu lalu.
"Yanukovych meminta bantuan daripada Putin untuk menggunakan tentera Rusia bagi mengembalikan keamanan dan mempertahankan rakyat Ukraine.
"Tindakan Rusia menghantar tentera juga tidak menyalahi undang-undang bagi mempertahankan hak asasi manusia bagi penduduk minoriti yang berbahasa Rusia di Ukraine," kata Churkin dalam mesyuarat ketiga Majlis Keselamatan PBB yang diadakan di sini, semalam.
Jelas beliau, penduduk Crimea yang berbahasa Rusia sedang dihukum atas sebab perbezaan bahasa dan politik, sekali gus meletakkan Ukraine di ambang perang saudara.
Katanya, keganasan tersebut dilakukan secara terbuka ekoran pengaruh daripada negara-negara Barat.
Churkin memaklumkan kepada Majlis Keselamatan bahawa beliau diberi tanggungjawab untuk membaca kenyataan daripada Yanukovych yang mendedahkan tentang permintaan penghantaran pasukan tentera ke Crimea.
Kenyataan itu didedahkan ketika ramai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan Moscow akan merampas lebih banyak kawasan pro-Rusia di timur Ukraine.
Dalam pada itu, Duta Ukraine ke PBB, Yuriy Sergeyev merayu bantuan dan menyerahkan surat kepada semua wakil 193 anggota PBB yang mendedahkan secara terperinci tindakan Rusia merampas kerajaan dan kemudahan tentera di Crimea.
Sergeyev mendakwa, tentera Rusia menggunakan bom tangan dalam cubaan menawan unit simpanan senjata milik briged Taktikal Udara Ukraine di Sevastopol, kelmarin, menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Selain itu katanya, tentera udara Rusia menceroboh ruang udara Ukraine sebanyak dua kali pada malam semalam.
"Semua laluan utama di Crimea dihalang, begitu juga pangkalan tentera dan kapal perang Ukraine di Pelabuhan Sevastopol dikepung selain cubaan menawan ibu pejabat Tentera Laut Ukraine," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140305/lu_01/Yanukovych-minta-bantuan#ixzz2v2Bi3Kpd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment