WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Mac 2014
Anwar Ibrahim |
SEREMBAN - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila pengumuman awal dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bertanding dalam pemilihan PKR sebagai timbalan presiden parti diperbesarkan pelbagai pihak.
Menurut beliau, soal bertanding merebut sesuatu jawatan dalam parti merupakan perkara normal dan bukanlah sesuatu yang memelikkan.
“Kita hairan, mengapa hal ini perlu diperbesarkan. Sedangkan, dalam mana-mana parti pun ada pertandingan seperti ini termasuklah BN. Sepatutnya, tidak timbul sebarang masalah membabitkan pengumuman berkenaan.
“Namun, apabila melibatkan PKR, seolah-olah menjadi satu dosa atau kesalahan besar pula untuk melakukannya. Inilah yang kita kesalkan,” katanya selepas menghadiri sesi Dialog Bersama Anak Muda di Royale Bintang Resort & Spa, semalam.
Beliau tidak menafikan, hal ini menjadi sebutan ramai memandangkan pengumuman dibuat Abdul Khalid agak terlalu awal, sedangkan pencalonan ditetapkan pada 29 Mac ini.
“Bagaimanapun, itu hak beliau (Abdul Khalid) untuk berbuat demikian. Kita tidak menghalang mana-mana individu untuk bertanding, asalkan mematuhi etika dan tidak mengecam antara satu sama lain.
“Cuma, kita harap pada masa ini agar tumpuan penuh diberikan terhadap PRK Dun Kajang terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air Selangor ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan negeri itu, Anwar berkata, beliau menyambut usaha itu.
“Kita menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk menyelesaikan masalah air yang melanda Selangor sejak sekian lama. Justeru, desas-desus mengatakan saya tidak bersetuju dengan MoU terbabit adalah tidak benar," katanya.
No comments:
Post a Comment