Sunday, April 13, 2014

Agenda MISC telah tersasar?


KUALA LUMPUR 12 April - Malaysia International Shipping Corporation (MISC) didakwa telah tersasar daripada agenda utama penubuhannya kerana tidak lagi berperanan untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, syarikat milik kerajaan (GLC) itu juga tidak membuka peluang kepada golongan tersebut untuk mengisi jawatan tertinggi sebaliknya mengutamakan rakyat asing.
Menurutnya, malah sarikat yang di­terajui Datuk Nasaruddin Md. Idris itu turut memberi tajaan kepada pekerja asing untuk melanjutkan pelajaran yang membabitkan kos tinggi.
“Bumiputera dan Melayu dianaktirikan sedangkan orang luar seperti warga asing dari Filipina, Bangladesh serta India diutamakan malah diberi tajaan melanjutkan pelajaran.
“Jawatan tinggi dalam MISC dikuasai oleh bukan bumiputera sehingga berlaku diskriminasi dalam pentadbiran khususnya ketika kenaikan pangkat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, Akademi Laut Malaysia (Alam) yang juga dibawah ‘jagaan’ MISC turut dimono­poli oleh bukan bumiputera termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya serta pensyarah di akademi itu yang diambil dari negara luar.
Menurut Azwanddin, ramai anak Melayu mengeluh seolah-olah mereka dianaktirikan oleh syarikat perkapalan negara sendiri yang sanggup mengambil anak kapal dari negara luar dengan alasan kos buruh yang rendah.
Sedangkan katanya, ramai anak Melayu berkelayakan dan mempu­nyai kelulusan dalam bidang perkapalan boleh mengisi jawatan itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu.
Jelas beliau, orang Melayu terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengikuti kursus di peringkat persijilan sebaliknya pelajar luar negara mendapat tajaan pe­ngajian penuh.
“Untuk pembelajaran selama enam semester di MISC, memerlukan kos sebanyak RM100,000, sepatutnya anak Melayu harus diberikan kuota untuk belajar berbanding dengan pelajar luar negara.
“Mengapakah harus wang itu digunakan bagi membiayai kos belajar untuk orang luar?" soalnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140413/dn_21/Agenda-MISC-telah-tersasar#ixzz2yiGxM7vx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment