Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Dyana Sofya yang hadir bersama pimpinan tertinggi DAP termasuk Lim Kit Siang menerima kecaman daripada sebuah kumpulan yang mengeluarkan kata-kata mengusir.
Sinar Harian dimaklumkan, sebelum kejadian, rombongan berkenaan diganggu dengan bunyi bising motosikal.
Antara perkataan yang diterima rombongan kempen itu termasuklah menyatakan kampung berkenaan kawasan Melayu dan dilarang membawa masuk orang bukan Melayu.
Keadaan itu menimbulkan sedikit ketegangan apabila turut mendapat perhatian peniaga di tapak berkenaan.
Bagaimanapun, kempen tetap berlangsung dengan edaran poster dan risalah calon.
Provokasi diterima Dyana Sofya pada hari ketika berkempen itu dikatakan dilakukan sekumpulan pemuda yang memakai pakaian mempunyai lambang BN.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran berikutan tiada laporan polis dibuat sehingga berita ini ditulis.
Difahamkan, Taman Perumahan Awam Padang Tembak itu merupakan kawasan kubu kuat BN.
Sementara itu, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, pihaknya akan membuat semakan dan siasatan sekiranya benar insiden itu membabitkan Pemuda BN.
"Saya dah terima laporan itu, kita akan pastikan sama ada yang ganggu dia itu, pakai baju BN atau tidak.
"Apa-apa pun kita akan semak, jika benar akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui dalam program walk about di Menara Condong, di sini.
No comments:
Post a Comment