Monday, June 9, 2014

6,000 anggota tentera pantau keadaan di Bangkok


Gambar fail bertarikh 21 September 2006, menunjukkan beberapa unit kereta kebal dikerah ke Bangkok dua hari selepas rampasan kuasa dilaksanakan di Thailand semasa pemerintahan Perdana Menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra. - AFP
BANGKOK 8 Jun - Junta tentera Thailand bertindak mengerahkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada 6,000 anggota tentera dan polis ke sekitar ibu negara hari ini bagi menyekat dan menghalang kumpulan pembangkang mendapatkan momentum melakukan demonstrasi antirampasan kuasa.
Timbalan ketua polis, Somyot Poompanmoung berkata, pasukan keselamatan itu ditempatkan di lima lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi, dan kawasan sekitar Istana Besar Raja Thailand di Bangkok.
"Selain itu, kami turut menempatkan anggota di lokasi pernah tercetus bantahan sebelum ini.
"Kami berharap tunjuk perasaan itu tidak mencetuskan apa-apa keganasan dan akan berakhir dengan aman," kata Samyot.
Beliau dalam pada itu berkata, Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha turut mengarahkan anggota pasukan keselamatan mengelak konfrontasi.
Menurut Somyot, penempatan anggota pasukan keselamatan hari ini melibatkan 27 kompeni tentera dan 15 pasukan polis.
Sejak rampasan kuasa dilaksanakan pada 22 Mei lalu, anggota pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi di bandar-bandar besar Thailand bertujuan menghalang penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi yang dikhuatiri boleh memburukkan lagi keadaan di negara ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140609/lu_02/6000-anggota-tentera-pantau-keadaan-di-Bangkok#ixzz345Z7edW0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment