KUALA LUMPUR - Sebanyak 274 kes telah disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Hasutan 1948 dari tahun 2008 hingga 29 Mei 2014.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata sebanyak 43 laporan polis diterima termasuk satu laporan yang dibuat ke atas Presiden Perkasa sehingga 29 Mei 2014.
Beliau berkata lanjutan daripada laporan itu, kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut di bawah Akta Hasutan 1948.
"Kerajaan memandang serius sebarang tindakan yang dilakukan oleh mana-mana kumpulan atau pertubuhan yang mengeluarkan kenyataan melampau tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat di negara ini.
"Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak bercadang untuk mendedahkan secara terperinci status penyiasatan dan tindakan yang telah diambil kerana masih di bawah siasatan pihak polis," katanya menerusi jawapan secara bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh).
Teresa meminta senarai pecahan kes yang disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan daripada tahun 2004 hingga tahun 2014.
"Kenyataan dikeluarkan Teresa Kok bahawa tiada tindakan ke atas Ketua Perkasa dan Isma tidak tepat kerana kedua badan itu tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang di negara ini.
"Setiap siasatan adalah berdasarkan kepada laporan polis manakala pendakwaan pula akan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya sekiranya siasatan mendapati perbuatan itu terbukti melanggar undang-undang," katanya.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata pemansuhan Akta Hasutan 1948 masih belum diputuskan berikutan masih dalam kajian dan penelitian daripada pelbagai aspek.
Dalam jawapan bertulis berasingan, beliau berkata penelitian dan kajian yang menyeluruh adalah penting bagi memastikan suatu undang-undang itu komprehensif dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Bagi tujuan ini, kerajaan kini sedang mendapatkan dan mengumpul pandangan serta maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan berhubung peruntukan wajar dimasukkan dalam akta baru.
"Pada 11 Julai 2012, Perdana Menteri telah menyatakan hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 atau Akta 15 dan menggantikannya dengan Akta dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional,"katanya.
Teresa Kok (DAP-Seputeh) ingin tahu sebab kerajaan tidak membatalkan Akta Hasutan 1948 sebagaimana diumumkan pada tahun 2012.
Nancy berkata objektif Akta Keharmonian Nasional bukan saja untuk memperkasa undang-undang tetapi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara dengan keperluan mengenakan tindakan undang-undang. - Bernama