Thursday, June 12, 2014

Arab Saudi kecam tindakan kritik undang-undang Islam


Mohammed Al-Eissa
JEDDAH 11 Jun - Menteri Kehakiman Arab Saudi, Mohammed Al-Eissa mengecam pertubuhan hak asasi antarabangsa yang bertindak 'menyerang' sistem keadilan di negara ini yang berlandaskan ajaran Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran.
Portal berita Arab News yang memetik kenyataan Al-Eissa melaporkan, ramai pihak salah faham terhadap undang-undang Islam kerana mereka menerima maklumat yang salah dan menolak perbezaan budaya seperti yang dilaporkan oleh pertubuhan antarabangsa.
Tambahnya, sebarang tindakan mengkritik undang-undang Islam yang dilaksanakan akan dianggap menyerang kedaulatan negara ini.
Jelasnya, hukuman ke atas kesalahan berat seperti pancung, potong tangan dan sebatan telah ditetapkan dalam al-Quran dan perkara itu tidak boleh diubah.
"Sistem keadilan di Arab Saudi melaksanakan perbicaraan secara terbuka bagi memastikan ketelusan dan keadilan ditegakkan, selain mengurangkan kadar jenayah.
"Islam mengajar tentang kebijaksanaan untuk berdialog dengan agama lain dan mewujudkan suasana aman bersama masyarakat lain," jelasnya.
Merujuk kepada hukuman mati yang dilaksanakan di Arab Saudi, Al-Eissa berkata, banyak negara telah melaksanakan cara yang sama seperti yang tercatat dalam undang-undang mereka.
Malah, katanya, hukuman potong tangan atas kesalahan mencuri juga telah menjadi rujukan kepada agama lain.
"Hukuman sebat hanya dikenakan atas kesalahan yang berkaitan maruah dan undang-undang Islam juga tidak membenarkan hukuman potong tangan dilakukan terhadap suspek pencuri sehingga benar-benar suspek didapati bersalah.
"Islam mengajar kita bersimpati dengan mangsa, bukan kepada jenayah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140612/lu_05/Arab-Saudi-kecam-tindakan-kritik-undang-undang-Islam#ixzz34NdCafWG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment