Thursday, June 12, 2014

Bekas suami Abby dakwa didera mental, fizikal

Bekas suami Abby dakwa didera mental, fizikal

Farhan menunjukkan laporan polis dan kesan pukul yang didakwa dilakukan oleh Abby Abadi selepas hadir di Mahkamah Gombak Timur, semalam. Kuala Lumpur: “Saya didera mental dan fizikal,” kata Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, bekas suami pelakon dan aktivis PAS, Abby Abadi ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.

Beliau mendakwa Abby pernah memukulnya dengan kunci motosikal hingga menyebabkan kecederaan di muka sekitar Januari lalu.
Katanya, kejadian pertama berlaku selepas Abby mendapat tahu yang dia memaklumkan kepada seorang kenalannya bahawa antara mereka sudah tiada apa-apa hubungan.

Ia disusuli dengan kejadian kedua pada 17 Mei lalu, kira-kira seminggu selepas dia menghantar lafaz cerai melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), iaitu pada 9 Mei.

Dalam kejadian itu, Farhan mendakwa Abby mencakarnya di tangan dan muka selepas dia enggan berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka, menyebabkan dia takut lalu membuat laporan polis di Balai Polis Ampang pada hari sama.

“Saya perlukan ruang ketika itu tetapi dia tetap cari dan desak saya. Apabila saya tak mahu (berbincang) dia cakar saya di tangan dan muka.

“Saya jadi takut sebab itu buat laporan polis. Laporan itu dibuat untuk jarakkan saya dengan dia, supaya dia (Abby) tidak mendekati saya. Dia tahu mengenai laporan itu, saya ada maklumkan dia,” katanya sambil menunjukkan bukti kesan kecederaan, gambar dan laporan polis terbabit.
Dia bagaimanapun berkata, perkara itu tidak didedahkan di dalam mahkamah kerana tidak mahu memanjangkan cerita.


Abby suka mendesak

Selain dicakar, Farhan turut mendakwa punca keretakan rumah tangga mereka adalah disebabkan sikap Abby yang suka mendesak terutama apabila membabitkan soal kewangan.

“Dia selalu desak saya, apabila tak ada duit, dia desak dan pernah kata saya tak mendatangkan apa-apa faedah pada dia. Saya tak tahu apa yang dia harapkan daripada saya.

“Saya kerja sendiri, gaji hari... jadi saya cuma bagi apa yang saya mampu,” katanya yang menolak faktor jarak usia yang terlalu jauh menjadi punca perpisahan mereka.

Ditanya sama ada dia masih sayangkan Abby, Farhan berkata, dia sudah tawar hati dan tidak terfikir untuk rujuk kembali selepas apa yang terjadi.

Terdahulu, pada prosiding semalam, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin mensabitkan lafaz kedua oleh Farhan menerusi SMS yang dibuat pada 9 Mei lalu berbunyi, ‘Aku ceraikan kau’ disusuli satu lagi SMS, ‘Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku’ adalah sah.

Beliau memutuskan demikian selepas meneliti dokumen dan berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pihak berhubung lafaz cerai pada jam 10.25 pagi itu. Lafaz secara kinayah atau kiasan itu dihantar kepada Abby selepas berlaku pertengkaran antara mereka pada malam sebelum kejadian.

Abby selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mensabitkan jatuh talak bagi pengesahan lafaz cerai pertama yang dibuat oleh Farhan sekitar Januari lalu, juga menerusi SMS berikutan lafaz itu tidak memenuhi rukun dan syarat talak.

No comments:

Post a Comment