Friday, June 6, 2014

Beijing sembunyi kebenaran


Agensi penapisan China semalam menafikan cubaan mengakses carian mengenai Tiananmen di Internet ketika pelbagai pihak memperingati tragedi berdarah di dataran itu 25 tahun lalu.

Berdepan tekanan daripada pihak berkuasa, rangkaian sosial China segera memadamkan sebarang carian merujuk kepada operasi ketenteraan dalam insiden itu, termasuk perkataan ‘Tiananmen’, ‘gerakan mahasiswa’, ‘6/4’ dan ‘ulang tahun ke-25.’ Ekoran kehadiran lebih 100,000 orang di majlis mengenang tragedi itu di Hong Kong malam kelmarin, senarai carian yang disekat turut diperluas, membabitkan ‘Victoria Park’ yang menjadi lokasi acara itu serta ‘Teng Biao’ (nama peguam dan aktivis yang menyampaikan kecaman kepada China di Dataran Tiananmen.

Pelayar Internet yang cuba mencari sebarang maklumat mengenai isu itu akan disambut dengan mesej menjelaskan mengapa ia tidak dibenarkan diakses - ‘Selaras dengan undang-undang serta polisi yang berkenaan.’ Sementara itu, penganjur berkata, 180,000 orang memenuhi Victoria Park di Hong Kong walaupun polis mendakwa hanya 99,500 orang hadir.



Dalam kejadian 25 tahun lalu, penunjuk perasaan prodemokrasi diserang pihak berkuasa China menyebabkan banyak kematian.

Sesetengah pihak mendakwa lebih 1,000 orang maut akibat keganasan tentera China dan isu itu kekal sensitif diperkatakan di negara komunis berkenaan.

Beijing turut mengambil langkah awal dengan menahan puluhan individu, termasuk aktivis hak asasi manusia, peguam dan wartawan sejak bulan lalu.


Seorang daripada mereka ialah peguam, Pu Zhiqiang, yang didakwa menyertai seminar membincangkan insiden Dataran Tiananmen.


Seorang penulis, Hu Shigen, dan tokoh akademik Xu Youyu dibebaskan tengah hari semalam.

Menjawab teguran AS supaya bertanggungjawab menyiasat kematian, penahanan atau kehilangan aktivis prodemokrasi, Beijing berkata, mereka tidak mempunyai alasan untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

No comments:

Post a Comment