Friday, June 6, 2014

Junta Thailand singkirkan pemimpin proThaksin


Bekas Menteri Pendidikan, Chaturon Chaisaeng merupakan antara pemimpin proThaksin yang ditahan pada akhir Mei lalu selepas menentang rampasan kuasa oleh tentera Thailand. - AGENSI
BANGKOK 5 Jun - Kerajaan junta Thailand melakukan rombakan sistematik bagi meminggirkan pegawai-pegawai kerajaan yang dilihat menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, tindakan dilihat sebagai usaha untuk mematahkan sokongan dan memastikan beliau tidak kembali berkuasa di negara ini.
Menurut Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO), gabenor-gabenor di 13 wilayah terutama di utara dan timur laut negara ini yang proThaksin, telah dipindahkan.
Kerajaan junta turut menstrukturkan semula pasukan polis yang dilihat sebagai penyokong Thaksin dan adiknya, Yingluck Shinawatra.
Berdasarkan dokumen NCPO yang dilihat oleh Reuters, sekurang-kurangnya 17 pegawai kanan polis telah dipindahkan sejak minggu lalu.
Thaksin yang merupakan bekas pegawai polis, digulingkan pada 2006, menyaksikan Perlembagaan digubal di bawah kerajaan disokong tentera dalam usaha mengehadkan pengaruh politiknya, namun Yingluck pula menjadi Perdana Menteri selepas menang dalam pilihan raya umum pada 2011.
Kerajaan junta kali ini dilihat mahu memastikan Thaksin atau ahli keluarganya tidak kembali menguasai arena politik negara ini.
Tentera telah menahan sejumlah pemimpin dari parti politik yang bertelagah, namun dilihat lebih ramai penyokong Thaksin ditahan dalam tindakan tersebut.
Kerajaan junta juga mendapatkan pinjaman sebanyak 1.5 bilion baht (RM150,000) untuk membuat pembayaran kepada petani dalam usaha mendekati penyokong Thaksin di kawasan pedalaman. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_04/Junta-Thailand-singkirkan-pemimpin-proThaksin#ixzz33oNqViwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment