Saturday, June 7, 2014

Kerajaan sementara Thai dilantik tiga bulan lagi


BANGKOK 6 Jun - Ketua kerajaan junta Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha memberi jaminan akan melantik perdana menteri dan Kabinet sementara dalam tempoh tiga bulan akan datang, semasa mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan dari China.
Prayuth bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut dan bagaimana proses pemilihan keanggotaan Kabinet sementara itu,
Portal berita, The Nation melaporkan, Prayuth berkata, usahawan China diminta bekerjasama dengan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO) supaya mengetepikan konflik kepentingan dan rasuah bagi menurunkan harga barang dan kos projek-projek pembinaan.
Beliau berkata, NCPO turut menyokong perdagangan bebas dan persaingan adil dalam kalangan ahli perniagaan dengan ahli perniagaan China diminta memindahkan teknologi mereka kepada rakan mereka di Thailand.
Pada masa sama, Prayuth menggesa ahli perniagaan China memberitahu pelancong dari negara itu bahawa perintah berkurung tidak memberi kesan kepada penduduk atau pelancong.
Dalam perkembangan berasing­an, kerajaan junta Thailand menahan seorang pemimpin antirampasan kuasa yang hidup dalam pelarian apabila dia menghadapi hukuman penjara ketika pentadbiran tentera itu berusaha menghapuskan kritikan terhadap tindakan tentera merampas kuasa.
Jurucakap tentera, Sirichan Ngathong berkata, Sombat Boonngama­nong yang mengetuai kempen dalam talian supaya rakyat Thailand mengadakan tunjuk perasaan menentang tindakan tentera itu ditahan di malam tadi di wilayah timur Chonburi.
"Kami mempunyai sebuah pasukan yang berjaya menjejaki Sombat menerusi Internet.
"Dia berdepan tuduhan awal melibatkan mengingkari arahan untuk melaporkan diri kepada kerajaan junta," katanya.
Sombat merupakan satu daripada ratusan orang termasuk ahli politik, aktivis, ahli akademik, wartawan yang perlu melapor diri kepada junta ekoran rampasan kuasa pada 22 Mei lalu. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_04/Kerajaan-sementara-Thai-dilantik-tiga-bulan-lagi#ixzz33vgOff2y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment