Wednesday, June 18, 2014

Pencarian MH370 tidak terokai lokasi panas



PENGUNJUNG menulis sesuatu di atas kad peringatan kehilangan pesawat MH370 sempena Pameran dan Persidangan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa ke-4 di Kuala Lumpur semalam.


LONDON - Pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370 masih belum tertumpu pada lokasi paling berpotensi ekoran operasi tersebut diganggu isyarat palsu, kata firma rangkaian satelit Britain, Inmarsat semalam.
Saintis-saintis Inmarsat memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa mereka telah menganalisis laluan terakhir pesawat berkenaan dan lokasi ia dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.
Lokasi itu yang disebut juga 'lokasi panas' tidak diterokai semasa operasi mencari MH370 berlangsung di Lautan Hindi.
Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Isyarat elektronik atau ping yang dihantar pada setiap jam dari pesawat itu diterima oleh satelit Inmarsat sekali gus membolehkan saintis-saintis mengira laluannya.
"Kapal tentera laut Australia, Ocean Shield kemudian dihantar untuk membuat siasatan (di lokasi panas)," kata Inmarsat dalam satu kenyataan.
"Namun, sebelum Ocean Shield tiba di lokasi tersebut, ia mula mengesan empat lagi isyarat ping yang dipercayai datang dari kotak hitam pesawat itu," tambah Inmarsat.
Operasi mencari kemudian tertumpu di zon seluas 850 kilometer persegi di dasar laut ke barat daya Perth berdasarkan penemuan baharu tersebut.
Namun, sumber ping itu tidak ditemui, manakala sebuah kapal selam robot gagal menemui serpihan atau bangkai MH370.
"Ia bukan lokasi tidak realistik tetapi terletak lebih jauh ke barat daya berbanding lokasi panas tersebut yang dikesan berdasarkan analisis awal kami," kata saintis Inmarsat, Chris Ashton.
Mengulas kenyataan Inmarsat, Pusat Agensi Penyelarasan Bersama (JACC) memberitahu, ketika itu, pihaknya perlu menjejaki sumber empat ping tersebut yang diterima alat pengesan Ocean Shield.
"Empat isyarat ping itu merangkumi petunjuk paling berpotensi dalam pencarian MH370 dan ia perlu dijejaki sehingga pasukan mencari dapat mengesahkan atau menolak lokasi tersebut sebagai tempat persemadian MH370," kata JACC dalam satu kenyataan.
Hingga kini, pegawai-pegawai Australia bersetuju bahawa berdasarkan isyarat MH370 yang diterima satelit Inmarsat, pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi.
Namun, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menyatakan, pakar-pakar masih berusaha untuk menentukan kawasan yang akan diterokai pada fasa pencarian MH370 seterusnya yang melibatkan dasar lautan pada kedalaman sehingga 6,000 meter. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz34wMLxtjY 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment