Wednesday, July 9, 2014

'Aidilfitri tiada makna bagi kami'



SUNNY (kiri) bertanya khabar dengan Nur Azlina yang memangku Nur Alia Maisara dan Nur Alia Balqis di rumahnya di Jalan Cemerlang, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kemiskinan menyebabkan seorang ibu tunggal di sini membesarkan tiga anaknya yang berusia tiga hingga 11 tahun dengan penuh kedaifan.
Nur Azlina Razid, 34, mengakui, dia bukan sahaja gagal memberikan pendidikan yang terbaik kepada zuriatnya malah gagal menyediakan kediaman yang selesa untuk mereka sekeluarga.
“Sejak dua tahun lalu, kami berempat tinggal di rumah usang di Jalan Cemerlang di sini dengan tidak membayar sewa kerana tuan rumah ini kasihankan kami. Tapi rumah ini tiada bekalan air dan elektrik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Tanpa kemudahan asas itu, Nur Azlina memberitahu, setiap hari dia terpaksa membanting tulang mengangkut air dari kedai berhampiran yang terletak kira-kira 200 meter jauhnya.
Pada waktu malam pula, hanya cahaya lilin digunakan untuk menerangi segenap penjuru rumahnya.
Ujarnya, tiga cahaya matanya iaitu Muhamad Munakid Hazizi Ariff Shukiman, 11; Nur Alia Balqis, 5; dan Nur Alia Maisara, 3, tidak pernah merungut kerana seolah-olah mengerti nasib malang yang menimpa keluarga mereka.
Ibu tunggal ini yang tidak berkerja berkata, sejak suaminya meninggal dunia sejak April lalu, pendapatan keluarganya bergantung dengan bantuan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Ditanya mengenai persiapan raya, ujarnya sayu: “Bila hidup miskin, Aidilfitri tiada makna bagi kami.”
Penderitaan yang ditanggung oleh Nur Azlina mendapat perhatian daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung yang menziarahi keluarga itu semalam.
Sunny berkata, pihaknya akan membantu ibu tunggal itu membaiki rumahnya termasuk menyediakan bekalan air dan elektrik.
Beliau juga berjanji akan memastikan empat beranak itu mendapat keperluan raya seperti pakaian serta kuih-muih untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya sedih melihat keadaan keluarga ini yang kurang mendapat perhatian dan saya harap ada pihak lain akan turut tampil membantu mereka,” katanya.
Orang ramai yang sudi membantu keluarga ini boleh menghubungi Nur Azlina di talian 019-524 9409.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0709&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz36vH3ytws 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment