Wednesday, July 9, 2014

Ibu tunggal menoreh sara anak, adik OKU


Maziah Abd Samad, 54, berkata, sejak kematian suami, Hashim Md Alif, 58, pada 2010 akibat kemalangan jalan raya, kehidupannya berubah kerana terpaksa menjadi ketua keluarga untuk mencari rezeki.
“Setiap hari, tepat jam 7 pagi saya bersiap untuk menoreh getah dengan dibantu oleh anak bongsu, Mohd Syazwan Hashim, 25.
“Pokok getah pun milik orang lain dan hasilnya terpaksa dibahagi dua.
Sepanjang di ladang, saya hanya berserah kepada Allah kerana terpaksa meninggalkan anak kedua saya, Umi Kasma Hashim, 26, seorang orang kurang upaya (OKU) dan adik perempuan Siti Hajar Abd Samad, 51, juga seorang OKU,”” katanya.

Menurut Maziah, dia terpaksa melakukan kerja walaupun dirinya agak lemah sejak menjalani pembedahan pada 2012.
““Kesihatan saya tidak begitu baik selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2012 untuk membuang buah pinggang sebelah kanan yang rosak.
“Setiap bulan saya menjalani pemeriksaan lanjutan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban bagi menentukan tahap kesihatan buah pinggang sebelah kiri,” katanya.
Katanya, biarpun dua daripada anaknya sudah bekerja, namun dia tidak dapat bergantung kepada mereka yang berpendapatan kecil.
“Anak sulung yang berusia 31 tahun hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Kuala Lumpur manakala anak ketiga berusia 28 tahun menjadi pembantu di kedai telekomunikasi di Seremban.
“Saya bersyukur kerana anak bongsu, Mohd Syazwan masih sanggup tinggal di kampung dan membantu melakukan kerja di rumah,” katanya.
Maziah berkata, dia bersyukur kerana Umi Kasma dan Siti Hajar menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 seorang, sekali gus meringankan bebannya.
“Saya membuat persiapan hari raya secara sederhana saja kerana tumpuan kepada anak dan adik OKU lebih diutamakan,” katanya.
Foto
MAZIAH (tengah) bersama Umi Kasma (kanan) dan Siti Hajar di rumah mereka di Kampung Iyor, Johol.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

No comments:

Post a Comment