Monday, July 14, 2014

Ancaman dari Selatan Filipina serius - PM


Najib Tun Razak (kiri) ketika menghadiri taklimat pembangunan negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kanan). - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 13 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) melakukan kawalan keselamatan secara terperinci memandangkan ancaman dari selatan Filipina adalah sesuatu yang serius.
Menurut Perdana Menteri, selain melibatkan pelbagai kumpulan, mereka juga mempunyai senjata yang banyak sehingga berkemampuan melakukan serang hendap serta membolosi kawalan pihak berkuasa menerusi pergerakan pada waktu malam.
"Ini merupakan cabaran yang begitu serius dan saya minta pihak Esscom kaji semula sistem kawalan mereka secara terperinci yang mana jika tidak cukup anggota mereka perlu tambah,'' katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis taklimat pembangunan negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden serangan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah kira-kira pukul 11.10 malam tadi yang mengorbankan seorang anggota polis manakala seorang lagi diculik.
Anggota yang terbunuh ialah Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, manakala Konstabel Zakia Aleip, 26 masih hilang.
Menurut Najib, beberapa kelemahan dalam aspek penempatan dan perancangan keselamatan di lapangan seperti yang berlaku dalam insiden serangan malam tadi juga perlu diatasi Esscom.
Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, perkara ini akan menjadi keutamaan tugas kepada Komander Esscom yang baharu, Datuk Abdul Rashid Harun.
"Kalau tak cukup bilangan anggota mereka kena tambah misalnya dalam kawalan di resort tersebut yang saya dimaklumkan bilangan anggota tidak cukup kerana lokasinya besar.
"Ini menunjukkan ada beberapa kelemahan dalam penempatan dan perancangan keselamatan di lapangan,'' jelasnya.
Menurut Perdana Menteri, insiden terbaharu di Pulau Mabul yang mengorbankan seorang anggota polis itu dengan jelas menunjukkan ancaman dari selatan Filipina adalah sesuatu yang serius.
Katanya, di samping itu, pihak-pihak di selatan Filipina turut mendapat maklumat tentang pergerakan kawalan pihak berkuasa dan semua perkara tersebut merupakan satu cabaran buat Esscom.
"Pihak musuh boleh mendapat maklumat sehingga `detail' sebab masyarakat di situ adalah masyarakat yang tidak kenal sempadan," jelasnya.
Ditanya sama ada pihak berkuasa telah mengenal pasti pihak terlibat, Najib berkata, perkara itu sedang dilakukan pihak berkuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140714/dn_05/Ancaman-dari-Selatan-Filipina-serius---PM#ixzz37ONtBjA9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment