Thursday, July 31, 2014

AS sertai EU kenakan sekatan ke atas Rusia

BARACK OBAMA
WASHINGTON 30 Julai - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengumumkan Washington menyertai Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan sekatan baharu ke atas sektor tenaga, persenjataan dan institusi kewangan Rusia ekoran konflik di timur Ukraine dan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Menurut Obama, sekatan baharu itu dibuat sebagai tekanan ke atas Rusia berhubung isu kroni dan syarikat yang menyokong aktiviti haram Moscow di timur Ukraine.
"AS akan menyekat urusan eksport beberapa barangan tertentu dan teknologi Rusia selain sektor tenaga negara terbabit.
"Sekatan juga diperluas ke atas syarikat pertahanan dan bank Rusia termasuk projek pembangunan ekonomi di Moscow yang melibatkan pembiayaan pinjaman dan kewangan," kata Obama selepas mengadakan persidangan tergempar melalui video dengan pemimpin Britain, Perancis, Jerman dan Itali.
Bagaimanapun Obama menafikan dakwaan menyatakan pihak Barat akan mencetuskan Perang Dingin yang baharu terhadap bekas negara Soviet itu tetapi memberi amaran bahawa AS dan Eropah semakin hilang sabar terhadap kerajaan pimpinan Presiden, Vladimir Putin.
Sekatan secara terancang itu akan meningkatkan tekanan ke atas Putin untuk menghentikan sokongan ke atas kumpulan pemberontak pro-Rusia yang dipersalahkan kerana menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.
Sebelum ini, Jabatan Perbendaharaan AS menyenaraikan Bank VTB, anak syarikat Bank of Moscow dan Bank Pertanian Rusia sebagai tiga institusi yang dikenakan sekatan.
Semalam, EU bersetuju mengenakan sekatan ke atas aset dan larangan perjalanan terhadap empat rangkaian perniagaan dan syarikat yang rapat dengan Putin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_02/AS-sertai-EU-kenakan-sekatan-ke-atas-Rusia#ixzz38zanRebd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment