Thursday, July 31, 2014

Hampir 100 maut serangan ganas di Xinjiang


Keganasan sering berlaku di wilayah Xinjiang, China dan etnik Islam Uighur sentiasa dipersalahkan oleh Beijing setiap kali serangan tercetus. - AGENSI
BEIJING 30 Julai - Sambutan Hari Raya Aidilfitri penduduk minoriti Islam Uighur tercemar apabila satu pertempuran ganas tercetus pada 1 Syawal kelmarin di bahagian barat Xinjiang, China yang menyebabkan hampir 100 orang terkorban dan cedera, menurut satu laporan hari ini.
Media tempatan China memaklumkan, berpuluh-puluh penduduk dan penyerang maut serta cedera dalam serangan ganas di daerah Shache berdekatan gurun Taklamakan dalam wilayah berkenaan.
Media turut melaporkan, sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan kapak menggempur sebuah balai polis dan pejabat-pejabat kerajaan di bandar Elixku, manakala beberapa yang lain memasuki pekan Huangdi dan menyerang orang awam serta memusnahkan kenderaan.
Menurut agensi berita Xinhua, polis menembak mati anggota kumpulan bersenjata di lokasi kejadian, namun jumlah sebenar mangsa terkorban tidak diketahui memandangkan maklumat di Xinjiang sukar untuk disahkan.
Jurucakap pertubuhan Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit dalam kenyataan menerusi e-melnya berkata, hampir 100 orang terbunuh dan cedera dalam serangan itu.
"Keganasan berlaku ketika penduduk Uighur membantah dasar polisi pemerintah yang melampau dan mereka ditindas oleh pasukan bersenjata yang mengakibatkan kematian dan kecederaan oleh kedua-dua pihak," katanya.
Tambah Raxit, lebih 20 orang penduduk Uighur terkorban dan 10 yang lain cedera, manakala 13 anggota keselamatan terkorban atau cedera, sementara 67 orang lagi ditahan.
Pekerja hotel dan restoran di Shache bagaimanapun tidak mengetahui tentang kejadian itu, manakala menurut Xinhua, siasatan awal mendapati insiden berkenaan dilancarkan secara terancang.
Kumpulan hak asasi me­nuduh kerajaan China menindas penduduk Islam Uighur, termasuk melarang mereka berpuasa di bulan Ramadan, namun kerajaan menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan, pihaknya telah meningkatkan pembangunan sektor ekonomi di penempatan penduduk minoriti itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_04/Hampir-100-maut-serangan-ganas-di-Xinjiang#ixzz38zc6Dmm3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment