AMSTERDAM - Kerajaan Belanda dan Australia kelmarin berusaha mendapatkan kebenaran bagi para pegawai penyiasat untuk ke lokasi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas dipercayai akibat ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Bagi hari ketiga berturut-turut, Belanda menerima mayat-mayat mangsa pesawat MH17 yang diterbangkan oleh pesawat tentera dari Ukraine.
Ketika ini pejuang pemisah Ukraine masih enggan membenarkan pasukan penyiasat antarabangsa menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi nahas yang dikuasai pemberontak di timur negara itu.
Pesawat MH17 yang membawa seramai 298 penumpang terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu darat ke udara ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Seramai 193 penumpang adalah rakyat Belanda dan 37 lagi warga Australia.
Ketika ini beberapa mayat mangsa masih belum ditemui.
Menteri Luar Australia dan Belanda kini berada di Ukraine bagi membuat satu perjanjian dengan kerajaan di Kiev bagi membolehkan pasukan keselamatan kedua-dua negara dihantar ke tapak nahas.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, seramai 100 anggota polis persekutuan telah menyertai seramai 90 lagi anggota yang kini berada di Eropah dan bersedia menyertai misi antarabangsa tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Khamis lalu memberitahu, beliau menghantar 40 polis tentera tidak bersenjata ke tapak nahas bagi membantu 23 penyiasat negara itu mencari mayat dan mengumpul bukti.
Kumpulan itu yang turut disertai 23 pakar forensik berlepas dari Amsterdam dengan menaiki sebuah pesawat tentera.
Pakar forensik juga sedang bekerja di Belanda bagi mengetuai siasatan dan mengenal pasti mayat mangsa.
"Kerajaan Australia semakin hampir memuktamadkan satu perjanjian dengan Ukraine bagi menghantar polis Australia di mana sebahagian daripada mereka bersenjata api bagi membantu siasatan dan mencari mayat mangsa.
"Saya jangkakan operasi di tapak nahas akan mengambil masa beberapa minggu sekiranya penghantaran pasukan ini dapat dijalankan," kata Abbott. - dpa
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz38cXXQHyN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment