Sunday, July 27, 2014

Kenal pasti mayat masuk hari keempat


Kiev: Kerja mengenal pasti semua mayat mangsa nahas MH17 yang berada di Kharkiv, 300 kilometer dari sini, yang masuk hari keempat, dijangka selesai hari ini.

Walaupun sebelum ini dikatakan kerja mengecam dan memeriksa mayat mangsa nahas boleh dibuat segera, ia perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelak bahan letupan kerana mayat itu diserahkan pemberontak pro-Russia selepas pemimpinnya mengadakan perjanjian dengan kerajaan Malaysia.

Sehingga kini, 189 keranda mengandungi mayat mangsa tiba di Eindhoven, Belanda dan 38 lagi dijangka dihantar semalam.

Pesawat pengangkut milik tentera udara Belanda itu dijangka meninggalkan Kharkiv sebaik kerja pengecaman terakhir dibuat pasukan forensik.

Kerja mengecam semua mayat terakhir itu kini giat dijalankan pakar forensik dari Malaysia dan Belanda.

Semua mayat mangsa yang tiba di Eindhoven akan dibawa pula ke Hilversum untuk proses pengecaman seterusnya yang akan dijalankan dengan menggunakan cap jari, rekod pergigian dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Proses dilakukan mengikut garis panduan dan piawaian antarabangsa.

Semua mayat mangsa nahas yang dimuatkan dalam beberapa gerabak diserahkan pemberontak pro-Russia, Isnin lalu, apabila pemimpin pemberontak Alexander Borodai bersetuju berbuat demikian selepas berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui perbualan telefon.

Pihak pemberontak juga menyerahkan dua kotak hitam kepada wakil Malaysia.

Jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 di timur Ukraine itu dijangka dapat dibawa pulang ke tanah air dalam jangka masa dua atau tiga minggu lagi.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

No comments:

Post a Comment