Sunday, July 27, 2014

16 jam ke Kota Bharu

16 jam ke Kota BharuLaluan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah Utara turut alami kesesakan luar biasa. Enam belas jam untuk sampai ke Kota Bharu, Kelantan dari ibu kota dan dari Kuala Lumpur ke Jitra pula sebelas jam? Itulah tempoh yang terpaksa dilalui pengguna lebuh raya untuk pulang berhari raya di kampung sejak dua hari lalu berikutan keadaan kesesakan yang agak luar biasa.

Rata-rata pengguna terpaksa berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) untuk berehat selain bersahur di stesen minyak berikutan tersekat dalam kesesakan selain terpaksa beratur hampir sejam untuk mengisi minyak.

Pengguna, Khairizan Sabtu, 48, beliau sudah beberapa kali melalui laluan lebuh raya utara Kuala Kangsar ke Gerik dan tidak pernah mengalami kesesakan luar biasa seperti ini. Beliau sekeluarga bertolak dari Saujana Utama, Sungai Buloh pada jam 12.30 tengah malam kelmarin dan hanya tiba ke kampung halamannya kirakira jam 4.50 petang, semalam.
“Kami sekeluarga terpaksa menempuh perjalanan selama 16 jam untuk ke Kota Bharu, Kelantan dan menggunakan inisiatif lain melalui jalan kampung. “Saya ingatkan dengan melalui jalan kampung keadaan jalan semakin lancar, tetapi sama juga seperti melalui lebuh raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zuliana Zulkafeli, 38, pula terpaksa bersesak di lebuh raya selama 11 jam untuk tiba ke kampung halamannya di Jitra, Kedah, berbanding tempoh perjalanan biasa selama enam jam saja. “Kenderaan mula sesak sebaik saja melepasi tol Sungai Buloh. Saya ingat macam tahun lepas, hanya beberapa jam saja sesak dan selepas itu sudah berjalan lancar.

“Orang ramai terpaksa memberhentikan kenderaan mereka di lorong kecemasan untuk berehat selain kelihatan beberapa kenderaan mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. Lebih malang buat pelajar kolej swasta, Nurul Farahin Rosli, 21, apabila tayar belakang kenderaannya meletup dalam kesesakan menuju ke Simpang Pulai, Ipoh.

“Saya terpaksa memberhentikan kenderaan di laluan tengah untuk menukar tayar kerana tidak dapat ke lorong kecemasan untuk menukar tayar. Keadaan amat sesak dan saya mengambil masa lapan jam untuk tiba di kampung berbanding tiga jam tempoh perjalanan biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment