2014/07/27
Bungkusan gula-gula dan sebiji tembikai untuk juadah berbuka puasa antara ‘buah tangan’ diterima penulis sebaik memasuki zon peperangan di Grabovo, di sini semalam yang juga lokasi utama tragedi MH17.
Pemberian itu jelas menunjukkan simbol persahabatan tentera pemisah Republik Rakyat Donestk sebaik penulis memperkenalkan diri sebagai wartawan dari Malaysia, selain menyatakan tujuan ke wilayah berkenaan bagi meninjau lokasi nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.
Tidak seperti kunjungan hari pertama penulis bersama rakan setugas, Yusri Abdul Malek dan Khairul Ghazali yang agak sukar, kami tidak perlu melalui prosedur pemeriksaan ketat di tujuh pos kawalan tentera pemisah di sepanjang laluan ke lokasi nahas. Malah, ada beberapa anggota tentera pemisah mula mengenali kami, dengan ada di antaranya mengangkat tangan sambil menjerit ‘Malaysia’.
Di satu pos kawalan apabila kami terpaksa berhenti untuk menerima bungkusan gulagula dan buah tembikai, seorang anggota tentera pemisah menyatakan pihaknya turut bersimpati dengan insiden menimpa MH17 dan berkongsi kedukaan dengan Malaysia.
Dalam pertuturan bahasa Inggeris yang tidak begitu fasih, dia mendakwa pihaknya tidak mempunyai kaitan dalam insiden itu dan berharap hasil siasatan, termasuk maklumat kotak hitam pesawat berkenaan dapat mendedahkan pihak bertanggungjawab.
“Kami amat bersimpati dengan tragedi menimpa anak kapal dan penumpang MH17. Kita sama-sama tunggu siapa sebenarnya dalang di sebalik tragedi menyedihkan ini,” katanya.
Di sebalik wajah bengis tentera pemisah dan melakukan pemberontakan ke atas Kerajaan Ukraine bagi membentuk sebuah republik yang merdeka di Donestk, masih ada sifat kemanusiaan dalam diri mereka.
No comments:
Post a Comment