2014/07/01 - 05:42:54
Putrajaya: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan terus bekerjasama dengan Menteri Pengangkutan yang baharu, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam misi pencarian pesawat MH370.
Hishammuddin, yang sebelum ini memangku jawatan Menteri Pengangkutan, berkata walaupun tumpuan selepas ini kepada kementeriannya, beliau akan terus membantu sehingga Tiong Lai selesa mengendalikan isu MH370 terutama dari segi hubungan dengan pemimpin negara yang terbabit.
“Saya sudah sinonim dengan MH370 dan akan terus membantu. Jika Tiong Lai memerlukan saya pada sidang media, saya tidak keberatan untuk bersama,” katanya pada sidang media bersama selepas majlis serah terima tugas di Kementerian Pengangkutan di sini, semalam.
Hishammuddin memangku jawatan Menteri Pengangkutan sejak 15 Mei tahun lalu dan terbabit dalam mengendalikan beberapa kes besar membabitkan kementerian itu termasuk tragedi bas terbalik di Genting Highlands, pesawat terhempas di Kudat, Sabah dan bot karam di Sarawak.
Hishammuddin berkata, sidang media mengenai MH370 selepas ini adalah lebih khusus, bukan hanya mengenai penempatan aset seperti Bluefin-21 dan Ocean Shield tetapi turut membabitkan syarikat swasta seperti Petronas yang menggunakan aset mereka dalam usaha mencari.
Sementara itu, Tiong Lai berkata beliau akan ke Canberra, Australia dan Beijing, China, dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai MH370.
Beliau akan bertemu Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss dan Ketua Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC), Angus Houston serta Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang.
No comments:
Post a Comment