Sabtu, 9 Ogos 2014 @ 12:19 PM
MELBOURNE: Perdana Menteri Australia Tony Abbott akan ke Belanda untuk bertemu rakan sejawatannya Mark Rutte, ketika usaha mengenal pasti identiti mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 sedang giat dijalankan.
Kerajaan Belanda telah mengeluarkan kenyataan ringkas mengumumkan Abbott akan melawat The Hague pada Isnin untuk bertemu Rutte dan menandatangani buku takziah.
"Sejak beberapa minggu lepas, Belanda dan Australia telah bekerjasama rapat bagi penghantaran pulang dan mengenal pasti semua mangsa secepat mungkin," menurut laporan Australian Associated Press (AAP) yang memetik kenyataan itu.
Pada Jumaat, AAP melaporkan pakar forensik yang bertugas di Hilversum di Netherlands telah mengenal pasti 21 lagi mangsa MH17. Hanya dua mayat dikenal pasti sebelum ini, kedua-duanya warga Belanda.
Bilangan 21 lagi mayat itu terdiri 16 warga Belanda termasuk dua yang turut memiliki kewarganegaraan Britain, dua warga Malaysia, seorang warga Jerman, seorang warga Kanada dan seorang warga Britain
Misi mencari cebisan mayat di tapak nahas di timur Ukraine telah ditangguhkan berikutan pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.
Penerbangan MH17, membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai. Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment