Monday, August 11, 2014

Kumpulan pemisah tertembak MH17



AFP
GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki berdiri dekat serpihan sebuah pesawat MH17 dekat Grabovo, timur Ukraine pada 2 Ogos lalu.


KIEV - Ketua sebuah agensi perkhidmatan rahsia Ukraine, Valentyn Nalyvaichenko mendakwa kumpulan pemisah mahu menembak jatuh sebuah kapal terbang awam milik Rusia tetapi tertembak pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), lapor akhbar MailOnline semalam.
Menurut Nalyvaichenko, tujuan pesawat awam Rusia ditembak jatuh itu adalah untuk membolehkan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk campur tangan dalam konflik negara Ukraine.
Beliau berkata, para pejuang pemisah yang disokong oleh Rusia itu telah membawa sistem pelancar peluru berpandu Buk melintasi sempadan Rusia ke kampung Pervomaiskoe di barat Donetsk.
"Sebaliknya, para pemisah itu tersilap kedudukan kerana menempatkan sistem peluru berpandu itu di sebuah kampung di timur bandar itu.
"Jika mereka pergi ke tempat yang sepatutnya seperti yang diarahkan, mereka akan menembak pesawat Aeroflot yang membawa sejumlah orang awam yang dalam penerbangan dari Moscow, Rusia ke Larnaca di Cyprus," katanya.
Menurutnya, jika ada penumpang Rusia yang terkorban dalam nahas itu, ia akan memberi peluang kepada Putin untuk campur tangan dalam konflik Ukraine.
Pesawat penerbangan Aeroflot AFL2074 dikatakan berada berdekatan dengan pesawat MH17 itu semasa pesawat malang itu ditembak jatuh pada 17 Julai lalu menyebabkan 298 orang termasuk kru terkorban. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3A2EU9HkT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment