Saturday, September 27, 2014

Pilihan raya tempatan dimansuh


Anggota Parlimen Indonesia, Maruarar Sirait (tali leher merah) dari Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) bercakap dengan Priyo Budi Santoso, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat tentang rang undang-undang sistem pemilihan pemimpin kerajaan tempatan semasa satu pengundian di Jakarta, semalam. - AFP
JAKARTA 26 Sept. - Parlimen Indonesia, hari ini membatalkan sistem pemilihan pemimpin kerajaan tempatan menerusi proses pilihan raya.
Keputusan itu menerima kecaman hebat dan mencetuskan tunjuk perasaan dengan menyifatkan tindakan tersebut menggugat pembaharuan demokratik utama, era pasca-Suharto.
Selepas satu perdebatan hangat selama lebih 10 jam, 226 anggota Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang itu bagi menamatkan sistem pemilihan datuk bandar, gabenor wilayah dan ketua daerah melalui pilihan raya di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia ini.
Melalui keputusan itu, Parlimen tempatan akan diberikan kuasa untuk memilih pemimpin mereka, yang disifatkan oleh pengkritik sebagai satu tamparan hebat kepada proses demokrasi yang dilaksanakan selepas kejatuhan Suharto pada 1998 yang didakwa mengamalkan pemerintahan 'kuku besi' selama tiga dekad.
Rang undang-undang itu kehilangan sokongan besar semasa peringkat akhir perbahasan, apabila parti pemerintah, Parti Demokrat yang dijangka menentang langkah itu bertindak keluar dewan selepas syarat-syarat yang mereka tuntut tidak dipersetujui.
Hanya 135 anggota Parlimen memilih untuk mengekalkan sistem pemilihan itu dalam satu pengundian yang dibuat selepas aktivis pro-demokrasi menunjukkan tahap kemarahan ramai berhubung rancangan itu dengan membakar tayar di luar bangunan Parlimen di Jakarta selepas demonstrasi bertukar 'panas'.
"Demokrasi di negara ini mengalami kemunduran," kata Datuk Bandar Bandung di kepulauan Jawa yang dipilih melalui pilihan raya, Ridwan Kamil dalam laman Twitter beliau.
Selain menjejaskan demokrasi yang masih muda di Indonesia, pengkritik melihat keputusan itu sebagai balas dendam oleh pencabar Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang memenangi pilihan raya Presiden pada Julai lalu dan terlibat dalam politik selepas dipilih secara langsung sebagai Datuk Bandar.
Penyokong rancangan itu berhujah, ratusan pilihan raya yang diadakan di seluruh negara di kepulauan terbesar di dunia itu pada setiap tahun sejak 2005 membabitkan kos yang besar dan secara realiti hanya memberi laluan kepada orang kaya untuk memenangi pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, pengkritik beranggapan langkah itu sebagai satu cubaan merampas kuasa oleh golongan atasan dan berpendapatan selain akan meningkatkan rasuah ketika bakal pemimpin perlu mencapai persetujuan dengan anggota Parlimen tempatan untuk memenangi jawatan tersebut.
Jokowi sebelum ini pernah mengulas isu itu dan menentang rancangan berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140927/lu_04/Pilihan-raya-tempatan-dimansuh#ixzz3ESXlLr00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment