Thursday, September 25, 2014

Tiada petroleum di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia


PUTRAJAYA 24 Sept. - Jawatankuasa Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum Di Pantai Timur Malaysia mendapati sehingga hari ini tiada petroleum didapati dan diperoleh di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Hasil penemuan itu berasaskan kepada terma 'di dalam negeri' dalam perjanjian sebelum ini yang merujuk kepada tanah negeri dan laut wilayah negeri tidak melebihi tiga batu nautika diukur dari garis air surut persisiran pantai negeri.
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan yang dikeluarkan di sini hari ini, takrifan itu juga berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa dan domestik yang terpakai.
"Oleh itu sehingga hari ini Petronas tidak terikat secara undang-undang untuk membayar bayaran tunai kepada mana-mana negeri di bawah perjanjian pembayaran.
"Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara pihak Petronas dengan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, negeri-negeri tersebut hanya berhak ke atas lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di dalam negeri berkenaan,"kata kenyataan itu.
Dalam pada itu menurut kenyataan tersebut, langkah kerajaan memaklumkan keputusan jawatankuasa khas kepada umum adalah untuk memberikan penjelasan yang sebenar kepada rakyat selain mengelakkan mereka terus diberikan versi tidak benar serta mengelirukan berhubung isu berkenaan.
"Langkah ini perlu dilakukan demi memelihara kepentingan negara dan dalam masa sama rakyat dapat memahami pendirian kerajaan yang dibuat berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh satu jawatankuasa khas yang bebas bagi menghapuskan pelbagai tohmahan dan salah sangka kepada kerajaan,"ujar kenyataan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140925/dn_04/Tiada-petroleum-di-negeri-negeri-Pantai-Timur-Semenanjung-Malaysia#ixzz3EGm874vJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment