Mekah 24 Sept. - Jemaah yang akan terbang ke Arab Saudi untuk menunaikan haji akan dilayan lebih bertimbang rasa dan pemeriksaan ke atas mereka akan dipercepatkan di lapangan-lapangan terbang Australia.
Menteri Perlindungan Sempadan, Scott Morrison bagaimanapun berkata, pegawai kastam masih mensasarkan individu-individu yang ke luar negara untuk menyertai kegiatan militan sebagai keutamaan.
Minggu lalu, beberapa pemimpin Islam melahirkan kemarahan dengan layanan buruk yang diberikan terhadap seorang ulama terkenal yang sedang dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.
Ulama itu yang merupakan seorang imam dan ahli kanan dalam Majlis Kebangsaan Imam Australia, ditahan selama dua jam setengah di Lapangan Terbang Sydney pada Khamis lalu sehingga menyebabkan dia terlepas pesawat.
Tambah Morrison, jabatannya telah membuat rundingan bersama Mufti Besar Australia, Dr. Ibrahim Abu Mohammad untuk memberikan taklimat khas kepada pegawai perlindungan sempadan berhubung perkara berkaitan haji.
Bagaimanapun, pemeriksaan ketat masih perlu dilalui para jemaah mengambil kira keseriusan kerajaan menyekat pelepasan rakyat negara ini yang mahu menyertai kegiatan militan di luar negara.
"Amat penting bagi kerajaan untuk mengenal pasti suspek-suspek pengganas bagi perjalanan keluar masuk dari negara ini.
"Pegawai kami akan bertindak secara profesional dan akan melayan penumpang dengan hormat, termasuklah menghormati sensitiviti budaya," kata Morrison dalam satu kenyataan semalam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140925/lu_07/Jemaah-haji-Australia-dilayan-lebih-bertimbang-rasa#ixzz3EGjdqSez
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment