Monday, October 13, 2014

Gantung 2 Adun: PKR Tak Masuk Campur


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 1:34 PM

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil pendirian untuk tidak campur tangan berkaitan isu dalaman PAS khususnya membabitkan masalah disiplin ahli dan pemimpin sekutu Pakatan Rakyat itu.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, parti itu menghormati keputusan PAS menggantung keahlian dua wakil rakyatnya yang bertindak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

"Itu adalah proses dalaman PAS dan saya rasa setiap parti mempunyai hak untuk menjalankan proses dalaman.

"Kalau proses itu berlaku dalam PKR, kita menghargai. Kalau rakan-rakan, kita tidak campur tangan, saya rasa tidak wajar kalau parti lain di dalam Pakatan Rakyat cuba campur tangan," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai keputusan PAS pada Ahad menggantung selama setahun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin digantung selama setahun berkuat kuasa Ahad.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberi tempoh 15 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Saari dan Hasnul sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar ketika Selangor dilanda krisis jawatan tersebut.

Kedua-dua Adun itu kemudiannya dipanggil oleh Jawatankuasa PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menyokong pencalonan Wan Azizah dan membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti.

No comments:

Post a Comment