Monday, October 13, 2014

Mayon muntah lahar lagi


AFP
Manila
Mayon, gunung berapi paling aktif di Filipina, semalam sekali lagi memuntahkan lahar, meningkatkan kebimbangan kemungkinan letupan pasti berlaku.
Kerajaan sudahpun memindahkan 63,000 penduduk yang tinggal di sekitar enam kilometer dari zon bahaya di sekeliling gunung itu selepas ia memuntahkan asap dan lahar bulan lalu.
Aktiviti gunung itu reda beberapa minggu. Bagaimanapun, jumlah lahar yang mengalir lebih jauh di lerengnya mencetuskan kebimbangan pegawai Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina bahawa ia akan meletup sedikit masa lagi.
"Aktiviti gunung itu bermula 15 September dan berakhir beberapa hari. Selepas itu ia senyap. Tetapi hari ini, pegawai kami melihat pengaliran lahar," kata ketua agensi volkanologi, Renato Solidum.
Menurutnya, apa yang berlaku semalam ialah pergerakan kecil.
"Pengaliran lahar kini sudah sejauh kira-kira 350 meter dari puncak Mayon," kata Solidum.
Dia memberi amaran, pengaliran lahar dari Mayon biasanya diikuti dengan fasa letupan.
Solidum bagimanapun tidak dapat mengagak bila ia akan berlaku.
Menurutnya, magma di dalam gunung berapi itu meningkat hingga ke kawahnya perlahan-lahan tetapi boleh bertukar menjadi cepat, menyebabkan gunung itu bergegar dan berlaku letupan kecil, diikuti dengan letupan besar.
Gunung setinggi 2,460 meter berkenaan terletak kira-kira 330 kilometer ke barat daya Manila.
Empat pelancong asing dan pemandu pelancong tempatan terbunuh apabila Mayon meletup Mei tahun lalu.
Pada 1814, lebih 1,200 orang mati apabila lahar megalir dan menimbus bandar Cagsawa.
Ketua operasi pertahanan awam di sekitar Mayon, Bernardo Alejandro berkata, kerajaan melakukan tinjauan dari udara dan anggota Kabinet melawat kawasan terbabit bagi meninjau keperluan bantuan yang diperlukan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:08 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1452#sthash.A2IyiUPe.dpuf

No comments:

Post a Comment