KUALA LUMPUR : Jenazah seorang lagi warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17, Shaliza Zaini Dewa, 45, akan dibawa pulang ke Melbourne, Australia, iaitu negara asal suaminya, 14 Oktober ini untuk dikebumikan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jenazah Shaliza tidak dibawa pulang ke Malaysia atas permintaan keluarganya.
"Ya..sepatutnya dibawa ke Malaysia, tapi atas permintaan keluarga mangsa, jenazah akan dibawa pulang ke Australia, iaitu negara suaminya," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61, di Wisma MCA, di sini petang tadi.
Allahyarham Shaliza, 45, adalah antara 298 orang yang terbunuh dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777 yang ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Beliau terkorban bersama suaminya Hans Van Den Hende dan anak-anak mereka, Australians Piers, 15; Marnix, 12; dan Margaux van den Hende, 8.
Tiong Lai berkata, sehingga kini, jasad 43 daripada 44 warga Malaysia yang terkorban dalam insiden itu sudah dikenal pasti.
"Hanya seorang saja lagi belum dikenalpasti, doakan semoga usaha pengecaman (seorang lagi mangsa) dapat dipercepat," katanya.
Menyentuh proses penyiasatan MH17, beliau menjangkakan ia akan mengalami kelewatan berikutan lokasi nahas di Donestk masih tidak selamat dimasuki, selain faktor musim sejuk sudah hampir tiba.
Katanya, pasukan hanya boleh masuk semula ke lokasi nahas April depan, iaitu selepas berakhir musim sejuk jika dalam masa terdekat ini tidak dapat berbuat demikian.
"Namun ia masih bergantung kepada tahap keselamatan di sana," katanya.
No comments:
Post a Comment