HONG KONG: Pemimpin Hong Kong Leung Chun-ying enggan tunduk kepada desakan penunjuk perasaan yang mahukan beliau berundur dan sebaliknya berikrar akan terus mengekalkan jawatannya.
Beliau memberi amaran bahawa bantahan yang dilakukan oleh pihak tertentu di negara yang menjadi hab kewangan Asia itu kini sudah tidak terkawal lagi dan tidak seharusnya diteruskan.
Bercakap dalam temu ramah dengan stesen televisyen tempatan TVB, Leung berkata kerajaannya akan terus berusaha untuk berunding dengan pemimpin pelajar tetapi tidak menolak kemungkinan menggunakan 'kekerasan paling minimum' bagi membersihkan kawasan terbabit.
Katanya, apa yang berlaku sejak beberapa minggu sebelum ini membuktikan betapa mudahnya untuk pihak terbabit menganjurkan bantahan secara beramai-ramai tetapi sukar untuk menghentikannya.
"Tidak ada sesiapa kini dapat menentukan hala tuju dan kadar ia bergerak. Ia kini satu pergerakan yang sudah hilang kawalan," katanya.
Leung menegaskan bahawa dalam situasi sekarang tidak ada peluang sama sekali bagi pemimpin China di Beijing mengubah keputusan yang dibuat Ogos lalu bagi mengehadkan demokrasi di Hong Kong.
Bekas jajahan British itu dijanjikan bahawa kebebasannya dilindungi di bawah formula 'satu negara/dua sistem', apabila Britain menyerahkan negara jajahannya itu balik kepada China 17 tahun lalu.
Beijing memutuskan hanya calon yang disaring oleh jawatankuasa pencalonan boleh bertanding dalam pilihan raya ketua eksekutif Hong Kong pada 2017. - REUTERS
No comments:
Post a Comment