Sunday, October 19, 2014

Siapa khianati siapa



Oleh Juhaidi Yean Abdullah
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din
Dalam ucapannya di Muktamar PAS baru-baru ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi pengakuan bahawa partinya akan terus bertahaluf dengan PKR dan DAP, selagi rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang tidak berlaku khianat.
Jika tidak kerana mukanya yang serius dan ketegasannya, kenyataan Presiden PAS itu dianggap melucukan kerana PKR dan DAP yang terlebih dulu melabelkan beliau serta partinya sebagai pengkhianat. Dua wakil rakyat PAS yang dituduh pengkhianat dan barua diberi penghormatan sebagai wira pula oleh PKR mahupun DAP.
Isu siapa khianati siapa dan sama ada PAS masih relevan dalam pakatan pembangkang bukan saja perdebatan hangat dalam kalangan perwakilan di muktamar, tetapi perbalahan sesama ahli dan penyokong, selain pemerhati politik mahupun media. Kata Abdul Hadi, PAS bercanggah dengan PKR dan DAP dalam krisis kepemimpinan Selangor.
Dia juga mengakui PAS berbeza dengan sekutunya dalam soal kalimah Allah. Pastinya, PAS akan bertelagah lagi dengan PKR dan DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, yang akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi. Dalam ucapannya pada muktamar, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, berkata tahaluf siyasi PAS dengan PKR-DAP tidak semestinya kekal. Beliau mengingatkan, Majlis Syura Ulama akan menilai kesan buruk baik bertahaluf dengan parti sekular seperti PKR dan DAP kerana akan ada kuasa membuat keputusan bila tiba masanya.
Bimbang PAS keluar pakatan
Bimbang dengan kemungkinan PAS bergabung dengan UMNO andainya keluar dari pakatan pembangkang, Timbalan Presiden Mohamed Sabu dan beberapa pemimpin PAS pro-Anwar Ibrahim dengan cepat memberi amaran. "Apa saja perbezaan antara kita (dengan PKR dan DAP), ia biasa untuk dihadapi. UMNO tetap musuh kita. Jangan cuba kelip mata atau hulur tangan kepada PAS. Saya beri amaran."
Naib Presiden, Salahuddin Ayub mengingatkan bahawa Hadi yang mencadang kewujudan pakatan pada tahun 2008 dan PAS memperoleh laba. Misalnya di Selangor, daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2008, PAS menang 15 pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu. Ini bermakna, PAS perlu kekal dengan pakatan pembangkang.
Wakil Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anwar Wafa pula mencadangkan Majlis Syura kurang mengeluarkan kenyataan media supaya 'tidak serabut kepala orang.' "Ulama banyak bercakap negatif mengenai tahaluf menjadikan orang ramai semakin keliru dengan identiti PAS, "katanya.
Isu ini dimainkan dalam Harakah. Kononnya UMNO kecewa kerana PAS terus mahu bersama pakatan pembangkang. Kolumnis Zulkifli Yahaya berkata, isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang kedengaran sejak tahun 2008 membabitkan pemimpin yang bukan calang-calang dan menjadi punca perpecahan parti (22 eptember tahun 2014). Beliau tidak menyebut nama, tapi Abdul Hadi sendiri, bekas Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Datuk Dr Hasan Ali, pernah dikaitkan.
Anggota PAS tolak idea
Subky Latif berkata, PAS tidak berhajat bergabung dengan UMNO, malah idea itu pasti tidak diterima ahli parti. (12 September tahun 2014). Tulis Ahmad Lutfi Othman: "Ada gosip disebarkan mengenai kemungkinan persefahaman politik antara PAS dan UMNO... tidak bermakna ada kecenderungan untuk 'bermain mata' dengan UMNO. Ramai ulama menyifatkan ratib dakwaan kerajaan perpaduan semata - mata fitnah untuk memburuk-burukkan mereka." (22 September tahun 2014).
Tidak dapat dipastikan siapa yang mulakan gosip ini. Fitnah ini, jika ada, pasti datangnya daripada ahli PAS juga kerana tiada respons rasmi daripada UMNO. Tiada pemimpin utamaUMNO yang komen mengenainya dua tiga minggu kebelakangan ini. Isu ini juga bukan agenda dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan depan, malah UMNO baru berentap dengan PAS di DUN Pengkalan Kubor dan menang besar.
Jika PAS anggap tempoh kerjasama dengan UMNO pada tahun 1974 hingga 1977 adalah perit, UMNO juga serik. PAS menceritakan pengalaman pahit dibuang daripada Barisan Nasional, tapi menyorok cerita bagaimana ia mengkhianati perjanjian dengan UMNO sebagai punca kena keluar. Hari ini, PAS adalah parti bermasalah, 'sakit' dan rosak dari dalam.
Parti ini berpuak-puak dan banyak kepala. Semua pimpinan penting adalah sebahagian daripada masalah. Pemimpin PAS akui ada komplot 'langgar' Presiden dan kumpulan yang tidak lagi hormat ulama. Mereka melabel sesama sendiri dengan gelaran munafik, hantu, pengkhianat dan barua.

No comments:

Post a Comment