Sunday, November 9, 2014

Presiden PMUM Antara Lapan Mahasiswa Ditahan Cuba Anjur Ceramah Umum


Diterbitkan: Ahad, 9 November 2014 10:23 PM
Fahmi Zainol (dua kanan) antara lapan mahasiswa yang ditahan selepas mengadakan ceramah umum di Kota Kinabalu. -foto Facebook Fahmi Zainol

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol antara lapan mahasiswa yang ditahan selepas mengadakan ceramah umum di pasar ria Jalan Gaya di sini.

Difahamkan, pihak polis menahan kumpulan mahasiswa berkenaan pada tengah hari, Ahad.

Fahmi sendiri turut memuat naik gambar dia dan tujuh lagi mahasiswa lain di laman Facebook dan Twitter miliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra mengesahkan mengenai penahanan berkenaan.

"Penahanan mereka bagi membolehkan pihak polis merekod keterangan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perbuatan mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Difahamkan, pelajar berkenaan dijangka menghadisi perhimpunan yang akan diadakan di Universiti Sabah (UMS) pada Ahad.

Sebelum ini Fahmi turut dihadapkan ke Lembaga Tatatertib UM dan didakwa atas sembilan pertuduhan kerana terlibat dalam perhimpunan haram sempena pidato Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tunku Canselor UM pada 27 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment