BEBERAPA orang pakar dari Belanda memantau kerja-kerja mengalihkan serpihan pesawat MH17 di Grabove, timur Ukraine pada 16 November lalu. – AFP
BERLIN 30 Nov. - Seorang ibu kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang ditembak jatuh di Grabove di timur Ukraine pada Julai lalu, mengemukakan saman terhadap kerajaan Ukraine dan menuntut ganti rugi berjumlah AS$1 juta (RM3.3 juta) atas kecuaian itu sehingga menyebabkan kematian.
Menurut akhbar tempatan, wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Bild dalam tuntutannya di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada minggu lalu, menuduh Kiev gagal menutup ruang udaranya kepada penerbangan awam ketika berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur negara itu, semata-mata kerana tidak mahu mengalami kerugian.
Penerbangan MH17 meletup di udara selepas dipercayai terkena tembakan peluru berpandu ketika melalui ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai lalu, menyebabkan 298 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.
Menurutnya, kira-kira 700 penerbangan melalui ruang udara di wilayah Ukraine itu setiap hari, menyumbang pendapatan yang banyak kepada kerajaan negara tersebut.
Seorang peguam dan profesor undang-undang penerbangan, Elmar Giemulla yang mewakili wanita itu, sebelum ini berpendapat kerajaan Ukraine perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penerbangan.
“Kerajaan (Ukraine) perlu memastikan keselamatan penerbangan. Jika ini tidak boleh dilakukan, ini bermakna ruang udara itu perlu ditutup,” kata Giemulla kepada AFP pada September lalu.
Kiev dan negara Barat saling menyalahkan dengan Kiev menuduh pemberontak pro-Rusia dan Moscow bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu, manakala pemberontak dan Moscow menuduh tentera Ukraine bertanggungjawab dalam insiden berkenaan. –AFP
No comments:
Post a Comment