Menurut portal berita Al-Jazeera, skandal Hollande dengan aktres jelita tersebut telah menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia Januari lalu, tetapi gambar pertama mereka berdua yang dirakamkan secara rahsia itu menimbulkan kebimbangan kepada Hollande.
Majalah selebriti, Voici turut memaparkan gambar tersebut pada bahagian muka depannya, diikuti dua keping lagi gambar Hollande, 60, dan Gayet, 42, duduk berdua-duaan sambil berbincang sesuatu.
Menurut akhbar tempatan, Liberation, satu siasatan telah dijalankan bagi mengenal pasti individu yang merakamkan gambar tersebut.
Polis bagaimanapun yakin, individu itu terdiri daripada kakitangan Istana Elysee yang merakamkan gambar terbabit menggunakan telefon bimbit.
Liberation melaporkan, empat daripada lima kakitangan itu telah berkhidmat di istana tersebut sejak zaman Presiden, Nicolas Sarkozy, sekali gus menambahkan prasangka bahawa tindakan itu didalangi bekas Presiden tersebut yang mahu mengambil kesempatan kembali bertanding dalam pilihan raya akan datang.