Monday, December 22, 2014
‘Kasih Allah kepada 4.4 juta warga Aceh’ | Harian Metro
Banda Aceh: “Saya melihat ia sebagai tanda kasih Allah kepada hamba-Nya. Kita ditegur dan diperingat jika melakukan kesilapan,” kata tokoh agama wilayah Aceh, Imam Besar Masjid Raya Baiturrahman Banda Aceh Prof Dr Azman Ismail memulakan bual bicara mengenai tsunami daripada sudut pandangannya.
Beliau berkata, tsunami bagaikan ‘kematian’ bagi mereka namun sejarah membuktikan bencana itu tidak menyebabkan masyarakat berputus asa.
Menurutnya, pegangan Islam yang teguh dalam kalangan seramai 4.4 juta masyarakat Aceh atau 98 peratus penduduk wilayah itu adalah faktor utama kebangkitan spiritual, sekali gus membuka ruang pembangunan fizikal seperti sekarang.
“Tiada dalam kalangan kami yang bunuh diri akibat tertekan kerana peristiwa itu (tsunami) walaupun ada saudara kita trauma kehilangan seluruh anggota keluarga.
“Bagi pihak masjid, kami bersyukur kerana pendekatan kami menyiarkan ceramah dan tazkirah menerusi saluran radio tempatan dan radio milik masjid di seluruh Aceh selama 28 malam sejurus peristiwa tsunami pada 26 Disember 2004 itu, berjaya.
“Ia adalah usaha meredakan perasaan penduduk yang terganggu akibat bencana dahsyat itu, pengisian dalam siaran radio itu dibukukan untuk diedarkan kepada masyarakat tempatan,” katanya sambil memberitahu program Aceh Berzikir kini menjadi acara tahunan masjid bagi memperingati tsunami.
Azman turut menceritakan pengalamannya ketika Masjid Raya Baiturrahman Banda Aceh menjadi tempat berlindung mangsa yang terselamat selepas tsunami.
Selepas berlakunya bencana alam dahsyat itu, katanya, ruang masjid menjadi tempat menghimpunkan jenazah yang basah dan berdarah.
“Hampir tiada ruang bersih untuk beribadat. Tiada bekalan elektrik dan air bersih. Hamparan permaidani terendam dan rosak.
“Berhari-hari lamanya masjid tidak dapat digunakan untuk berjemaah termasuk solat Jumaat. Namun, ketabahan masyarakat membangunkan semula masjid dengan bantuan negara Islam lain termasuk Malaysia berjaya memakmurkan semula rumah Allah ini,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Aceh khususnya pengurusan masjid terhutang budi dengan kerajaan Malaysia yang membantu pembinaan semula tembok yang runtuh akibat tsunami selain bantuan kitab serta buku agama.
Sementara itu, seorang pembuat kapal, Saifun Yusri, 52, berpandangan bahawa mangsa tsunami yang terselamat seperti dirinya memang sewajarnya bersyukur kepada Tuhan sebab masih dikurniakan kesempatan untuk hidup.
“Kami yang hidup bukanlah kerana pandai berenang, kuat atau pandai bersembunyi. Natijahnya, kami memang ditakdirkan untuk hidup lagi supaya bertawakal kepada Allah,” katanya ketika ditemui di lokasi tinggalan tsunami di Kapal Atas Rumah Kampung Lampulo, di sini.
Dalam kejadian tsunami sedekad lalu itu, Saifun tersangkut di atas pokok kelapa manakala isterinya, Nilawati Ilyas Bintang, 48, juga berkeadaan serupa, tetapi pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasinya.
“Ketika itu, isteri fikir saya sudah mati dan begitu juga saya berfikiran demikian. Allah masih berikan kesempatan. Ajaibnya kejadian itu untuk pedoman hidup kami,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 8:37 AM
AKTIVITI agama memenuhi ruang masjid.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18170#sthash.PYjA9agI.dpuf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment