Monday, December 22, 2014

Tuah resipi roti canai

 Oleh Amir Abd Hamid



amir@hmetro.com.my

Banda Aceh: Bermodalkan RM30 dan ilmu membuat roti canai daripada seorang lelaki Bangladesh ketika bekerja restoran di Damansara Damai, Petaling Jaya, seorang pemuda Aceh kini tersenyum lebar apabila mampu memperoleh pendapatan sekitar RM100,000 sebulan.



Menariknya, kata Tommi Ramli, 37, antara tuah melariskan jualan adalah dia menamakan premisnya Restoran Canai Mamak Kuala Lumpur sehingga melonjakkan populariti dan mampu membuka dua cawangan berbanding ketika memulakan perniagaan gerai kecil tepi jalan.



Ketika ditemui di restoran utamanya di No 51, Jalan Teuku Umar, di sini, pemuda yang masih bujang itu berkata, dia memberanikan diri membuka perniagaan sendiri pada awal 2005 iaitu selepas tsunami membadai Aceh pada Disember 2004.



“Ketika tsunami pada 26 Disember 2004, ratusan ribu nyawa hilang manakala kawasan pantai sepanjang 800 kilometer berdepan Lautan Hindi lenyap.



“Namun kemusnahan itu memberi rahmat kepada kami untuk menjalani hidup tanpa rasa takut dan saya mendapat ilham memulakan perniagaan roti canai.



“Saya mulakan perniagaan pada Mac 2005 dengan modal RM30 dan menebar roti di tepi jalan yang menimbulkan suasana ganjil kepada masyarakat sini. Tiga kali saya menukar nama gerai bermula Canai Aceh, Canai Mamak dan akhir sekali Canai Mamak Kuala Lumpur pada 2006 sehingga kini saya kekalkan. Syukur, ramai singgah makan kerana perasaan ingin tahu roti canai Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan ia popular,” katanya.



Tommi berkata, ketika ini dia mempunyai 60 pekerja di dua cawangan yang masing-masing boleh memuatkan sehingga 1,000 pelanggan pada satu masa.



Lepasan Sekolah Teknik Aceh dalam jurusan seni bina bangunan itu juga menerapkan sentuhan tersendiri dalam hiasan dalaman serta luaran restorannya yang turut dilengkapi kemudahan Wifi.



“Mengenai ilmu membuat roti canai, saya belajar dengan seorang pekerja Bangladesh ketika bekerja di sebuah restoran di Damansara Damai. Saya belajar menebar roti pula guna kain basah.



“Pengalaman bekerja di Malaysia antara 2000 hingga 2005 saya gunakan sepenuhnya untuk membangunkan restoran sendiri, termasuk idea pengurusan.



“Saya berhasrat mengembangkan perniagaan Restoran Canai Mamak Kuala Lumpur secara francais sehingga ke seluruh Indonesia,” katanya.



Dia berkata, sebelum ini sukar mencari rezeki disebabkan Aceh sebuah wilayah konflik menyebabkan kegiatan ekonomi setempat sangat lemah.



Menurutnya, dia tidak pernah terbayang Aceh akan menjadi sangat makmur seperti sekarang dan baginya, tsunami turut memberi hikmah kepada cara pemikiran masyarakat untuk memajukan diri dan wilayah bertuah itu.



Harian Metro turut berkesempatan menemu bual seorang lagi peniaga yang kisahnya hampir serupa dengan Tommi iaitu Rahmat Rizal, 31, yang juga pemilik Warung Kopi G and J.



Rahmat berpengalaman berniaga makanan di Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur selama lima tahun sebelum pulang ke Banda Aceh untuk mempopularkan teh tarik dan kopi sepedek (gelas kenit).



“Warung kopi di Aceh kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Bagi saya, pemandangan warung dipenuhi pelanggan sehingga lewat pagi adalah petanda rezeki mencurah turun ke bumi Aceh,” katanya.



Sebelum tsunami, Tommi dan Rahmat antara ribuan penduduk Aceh yang terpaksa merantau untuk mencari rezeki di luar wilayah itu berikutan ketegangan di bumi Serambi Makkah membabitkan konflik hampir tiga dekad antara pihak Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan pemerintah Jakarta.

RESTORAN Canai Mamak Kuala Lumpur, Banda Aceh cukup dikenali warga tempatan. 
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 8:36 AM



MASJID Raya Baiturrahman tidak musnah walaupun bangunan sekeliling lenyap dibawa ombak tsunami.


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18168#sthash.4r40CWuF.dpuf

No comments:

Post a Comment