SYDNEY 14 Dis. – Pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi yang melibatkan kawasan seluas 60,000 kilometer persegi dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei tahun depan.
Akhbar Perth Sunday Times memetik kenyataan seorang pegawai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) hari ini sebagai berkata, tiga buah kapal yang terlibat dalam usaha pencarian dasar laut sudah melengkapi dua per tiga zon carian utama.
Bagaimanapun, JACC tidak menyatakan usaha seterusnya jika pesawat berkenaan masih gagal ditemukan.
JACC sebelum ini melaporkan, usaha pencarian dasar laut mungkin memakan masa sehingga 12 bulan.
Zon pencarian utama yang terletak kira-kira 1,200 kilometer di barat daya Perth dipercayai merupakan lokasi di mana pesawat berkenaan hilang berdasarkan kepada maklumat yang diterima dari satelit.
Kelmarin, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengeluarkan video animasi dan imej sonar yang diambil dari kapal pencari GO Phoenix di Lautan Hindi pada kedalaman enam meter.
Bagaimanapun, tiada sebarang kesan atau jejak pesawat berkenaan dijumpai.
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal hilang dari radar pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. – DPA
No comments:
Post a Comment