Sebuah konvoi trak membawa sebahagian serpihan pesawat MH17 milik Malaysia Airlines menyeberangi sempadan Ukraine-Poland di Korczowa di Poland, kelmarin untuk diterbangkan ke Belanda. – AFP
AMSTERDAM 6 Dis. - Waris mangsa nahas pesawat MH17 yang berang dengan apa yang mereka anggap sebagai salah urus siasatan oleh Belanda menuntut supaya seorang utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilantik bagi mengetuai siasatan antarabangsa berhubung nahas tersebut.
Sepucuk surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semalam mendakwa pegawai Belanda gagal mewujudkan kes tersebut.
Mereka mahukan siasatan oleh Lembaga Keselamatan dan perkhidmatan pendakwaan diserahkan kepada PBB.
Malah surat itu mencadangkan kepada Rutte supaya 'meminta PBB melantik seorang utusan khas bagi mengambil alih kes itu,’’ kata surat yang ditulis oleh firma guaman, Van der Goen Attorneys.
“Tidak ada sesiapa yang tahu siapa yang sedang berbuat sesuatu. Tiada penyelerasan dan tiada kepimpinan ... oleh Belanda,’’ kata Bob van der Goen, jurucakap bagi firma berkenaan, semalam.
Pesawat milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines itu ditembak jatuh pada 17 Julai lalu di timur Ukraine mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya, dengan pakar mendakwa kebarangkalian besar nahas itu berpunca daripada peluru berpandu darat ke udara yang dilancarkan pemberontak pro-Rusia.
Belanda sejak itu melancarkan siasatan jenayah terbesar dalam sejarah mereka dengan minggu ini, trak mula membawa serpihan bangkai pesawat itu ke sini, namun kebanyakan serpihan berkenaan masih terdapat di Ukraine.
Penyiasat Belanda yang mengetuai siasatan kes itu bersama-sama 11 negara lain masih belum merumuskan bagaimana pesawat itu ditembak jatuh, mahupun mengenal pasti identiti suspek terlibat.
Sementara itu, kesemua 38 rakyat Australia yang terbabit dalam nahas MH17 sudah berjaya dikenalpasti, kata kerajaan Australia yang memetik pihak berkuasa Belanda. – REUTERS/BERNAMA
No comments:
Post a Comment