Sunday, June 15, 2014

Orang jahil sahaja kata hudud tidak adil


HARAKAHDAILY | .
SERDANG: Pihak yang mendakwa kononnya undang-undang jenayah syariah atau hudud, sebagai tidak adil, malah memperlekehkan perkara ini, hanya menampakkan sikap jahil mereka sendiri.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mereka ini sebenarnya telah gagal memahami hikmah kehebatan undang-undang yang menggerunkan orang untuk melakukan kesalahan.
Sebab itu katanya ada dikalangan tertentu yang mengatakan seperti "jika undang-undang hudud ini dilaksana, maka ramailah kena potong tangan".
"Adalah salah akal jika memahami bahawa rakyat akan berlumba-lumba untuk mencuri supaya dipotong tangan dan kaki.
"Apa yang sebenarnya berlaku, ramai kalangan penjenayah akan bertaubat," kata beliau dalam ucapan perasmian Seminar Tegak Syariat Islam (Tegas) di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasruddin Hassan yang juga pengarah program.
Katanya, undang undang jenayah syariah adalah bersifat mendidik, bukan menghukum.
Malah ujarnya, ianya mempunyai syarat yang ketat untuk dikenakan hukuman dan hakim pula perlu mencari jalan dengan seboleh-bolehnya untuk membebaskan pesalah.
Dalam pada itu beliau berkata, perjuangan ke arah pelaksanaan undang-undang Islam ini perlu didahului dengan ilmu dan kesedaran.
Pada masa ini, apa yang wajib katanya adalah membetulkan kefahaman dan menjelaskan salah faham terhadap kekeliruan yang ditimbulkan.
Apatah lagi kata beliau, di saat negara kini sedang berdepan masalah jenayah berat tanpa mengira kaum yang sehingga kini tiada satu pun undang-undang ciptaan manusia dapat mengatasinya.
Dalam seminar sehari ini juga, beberapa kertas kerja turut dibentangkan.
Antaranya kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Hikmah Pelaksanaannya yang dibentangkan oleh Musyrif Pondok Sungai Durian Dr Abdul Basit Abdul Rahman.
Kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Menegakkan Syariat Islam Satu Kewajipan pula dibentangkan oleh Pemangku Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik pula bergandingan dengan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali membentangkan tajuk Kanun Jenayah Syariah: Kejamkah Pelaksanaanya?
Satu lagi kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Mendepani Undang-Undang Negara, dibentangkan oleh Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. -HARAKAHDAILY 15/6/2014

No comments:

Post a Comment