Sunday, September 21, 2014

Identiti 225 mangsa pesawat MH17 dikenal pasti - Belanda


GAMBAR bertarikh 22 Julai lalu, menunjukkan seorang anggota penyiasat dari Malaysia berada di tapak nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 berhampiran kampung Grabove, Donetsk, timur Ukraine. - REUTERS
THE HAGUE 20 Sept. - Kementerian Keselamatan dan Kehakiman Belanda semalam menyatakan, pakar forensik negara ini telah mengenal pasti identiti 225 daripada 298 mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine kira-kira dua bulan lalu.
Jelas kementerian itu, sebanyak 14 lagi mayat mangsa dikenal pasti semalam iaitu tujuh daripadanya adalah warganegara Belanda dan selebihnya rakyat dari pelbagai negara.
"Bagaimanapun, kerakyatan tujuh mangsa dari negara lain tidak akan didedahkan atas permintaan kedutaan terbabit," jelas kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Rusia semalam mengkritik penyiasat antarabangsa berhubung laporan nahas pesawat MH17 dengan mendakwa, siasatan hanya akan menjadi lebih telus sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat sama.
Majlis Keselamatan PBB atas permintaan Rusia mengadakan pertemuan semalam, bagi membincangkan tentang laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang mendakwa pesawat MH17 terhempas disebabkan oleh 'sejumlah objek berkelajuan tinggi' menembusi badan pesawat.
"Laporan awal DSB tidak lengkap dan tidak mengandungi maklumat yang meyakinkan tentang punca sebenar nahas," kata Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin.
Churkin berkata, Moscow percaya ketelusan dan objektif utama siasatan hanya akan dapat dijalankan dengan bantuan serta penglibatan PBB.
Dalam perkembangan sama, Ukraine dan pemberontak pro-Rusia menandatangani satu perjanjian mewujudkan zon bebas tentera dalam konflik perang saudara yang sudah berlanjutan selama lima bulan.
Perbincangan yang berlangsung semalam di ibu negara Belarus, Minsk berakhir dengan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mewujudkan zon berkenaan dengan semua tentera kerajaan dan pemberontak bersetuju untuk keluar dari kawasan terbabit.
Wakil Ukraine dalam perbincangan tersebut, Leonid Kuchma berkata, melalui perjanjian berkenaan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berundur sejauh 15 kilometer dari kawasan perjanjian bagi membentuk zon berkeluasan 30 kilometer. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_02/Identiti-225-mangsa-pesawat-MH17-dikenal-pasti---Belanda#ixzz3DtxplGin
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment